Mohd Rafi Mamat


Kuantan: "Selepas 16 tahun menjadi banduan, diberi peluang menyediakan bubur lambuk dalam Penjara Penor bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah semalam adalah kenangan tidak mungkin dapat dilupakan sampai bila-bila.

"Apatah lagi saya akan dibebaskan pada Jun depan," kata banduan Azlan, 42, (bukan nama sebenar) ketika ditemui pada program Majlis Memasak Bubur Lambuk Bersama Penjara Penor , di sini semalam.

Azlan antara 16 banduan bersama kakitangan Penjara Penor yang menyertai program itu dengan menghasilkan lebih 2,500 bekas bubur lambuk dan diagihkan kepada semua banduan dan kakitangan penjara itu.

Azlan yang berasal dari Sarawak berkata, Raja Permaisuri Agong tidak asing lagi dalam kalangan banduan Penjara Penor kerana baginda sering berkunjung ke Kompleks Tenun Diraja bagi melihat aktiviti menghasilkan kain tenun oleh banduan.

"(Berpeluang menyertai) Program membuat bubur lambuk bersama Raja Permaisuri Agong semalam akan menjadi kenangan manis sepanjang saya bergelar banduan yang menerima hukuman penjara selama 24 tahun," katanya ketika ditemui dalam program yang turut dihadiri Ketua Pengarah Penjara Datuk Nordin Muhamad, Pengarah Penjara Pahang Datuk Abu Hasan Hussain dan Pengarah Penjara Penor Fayrouz Ahmad Zawawi.

Sementara itu, bagi Arif, 45, (bukan nama sebenar), pengalaman menyediakan bubur lambuk cukup bermakna buat dirinya kerana tidak pernah membeli, apatah lagi memasak bubur lambuk walaupun dia berasal dari Shah Alam, Selangor dan pernah menetap di Kampung Baru, Kuala Lumpur yang popular dengan juadah itu sepanjang Ramadan.

"Nasib baik saya selalu tolong mengacau dodol di kampung … tak kekok untuk kembali mengasah bakat hari ini kerana bubur lambuk perlu sentiasa dikacau supaya tidak berkerak di dasar periuk," katanya yang akan beraya buat tahun ke-22 di balik tirai besi selepas dijatuhi hukuman penjara 41 tahun.

Anak jati Kuantan, Seelan, 28, (bukan nama sebenar) sambil berseloroh menyifatkan dirinya menanggung kerja yang 'paling berat' kerana ditugaskan untuk menjadi 'tukang rasa' kesemua tiga periuk bubur itu bagi memastikan hidangan itu cukup rasa.

"Saya takut apabila Raja Permaisuri Agong bertitah kalau bubur lambuk yang disediakan tawar atau masin, saya yang akan dipersalahkan kerana diberi tanggungjawab sebagai 'tukang rasa'," katanya.

Seelan yang menjalani hukuman penjara enam tahun berkata, pengalaman itu antara kenangan berharga buat dirinya sebelum dibenarkan keluar penjara tahun hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2023 @ 9:10 AM
Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Aminah Maimunah Iskandariah menyediakan bubur lambuk bersama 16 banduan penjara Penor pada Majlis Memasak Bubur Lambuk Bersama Penjara Penor. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Aminah Maimunah Iskandariah menyediakan bubur lambuk bersama 16 banduan penjara Penor pada Majlis Memasak Bubur Lambuk Bersama Penjara Penor. FOTO MOHD RAFI MAMAT