AHMAD bukan nama sebenar) mencium cucù perempuannya di Program Jalinan Kasih sambutan Aidilfitri di Penjara Reman Pulau Pinang. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
AHMAD bukan nama sebenar) mencium cucù perempuannya di Program Jalinan Kasih sambutan Aidilfitri di Penjara Reman Pulau Pinang. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Rudy Syareme Sheriffudin


Georgetown: "Saya benar-benar rindukan arwah ibu. Tapi, pertemuan dengan anak dan tiga cucu ini sedikit sebanyak mengubat rindu itu," kata banduan yang dihukum gantung sampai mati mandatori kerana membunuh wanita pada 2010.

Ahmad, 46, (bukan nama sebenar), berkata peristiwa hitam berlaku tujuh tahun lalu memberi ruang dan peluang kepadanya bertaubat kepada Allah SWT.

Menurutnya, dia kini sedang giliran untuk menjalani hukuman itu selain menunggu proses pengampunan.

Beliau berkata, segalanya berpunca akibat penyalahgunaan dadah sejak usia belasan tahun sehinggakan kerjaya tetapnya sebagai penjawat awam musnah sekelip mata.

"Saya cukup terharu apabila diberikan peluang bertemu keluarga walaupun bersama dua anak dan tiga cucu. Namun saya sebenarnya amat merindukan ibu yang meninggal dunia enam tahun lalu.

"Ibu adalah segala-galanya dan tidak dapat ditukar ganti namun perasaan saya menjadi sayu dan sedih apabila tidak dapat lagi bertemu mencium, memeluk dan memohon maaf pada ibu.

“Teramat sedih sangat,” katanya yang ditemui di Program Jalinan Kasih Sempena Hari Raya Aidilfitri 2017 bersama 11 banduan lain di Penjara Reman Pulau Pinang, di Georgetown.

Ahmad dijatuhkan hukuman gantung selepas dia membunuh seorang wanita 39 tahun yang juga pemilik farmasi.

Ketika kejadian, dia yang berada di bawah pengaruh dadah menceroboh masuk ke premis itu untuk menyamun namun mangsa menyedari perbuatnnya itu sebelum Ahmad memukulnya dengan kayu hingga maut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2017 @ 4:01 PM