UMS memanfaatkan sumber air bukit. FOTO ihsan UMS
UMS memanfaatkan sumber air bukit. FOTO ihsan UMS
Oleh Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah (UMS) memanfaatkan sumber air bukit atau graviti dari kawasan kampus induknya, di sini, untuk kegunaan harian warganya dalam usaha mengurangkan kesan catuan bekalan air yang dilaksanakan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) ketika ini.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Kasim Mansur berkata, sumber air alternatif itu disalurkan ke tangki pengumpulan menggunakan sistem perpaipan yang dipasang pihak universiti dengan keupayaan membekalkan sehingga 80,000 liter air sehari.

Katanya, langkah itu bagi menambah kira-kira 300,000 liter sehari bekalan air dari loji rawatan air (LRA) di Penampang yang dihantar menggunakan lori tangki untuk kegunaan kolej kediaman pelajar dan bangunan sekitar kampus.

"Pihak UMS membuat satu sistem perpaipan dari punca air bukit dalam kampus yang mampu membekalkan air sebanyak 80,000 liter sehari dan kita juga mengenal pasti punca air bukit lain dan akan membuat perpaipan baharu bagi menyalurkan air bukit berkenaan untuk kegunaan pelajar," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Kenyataan itu bagi menjelaskan langkah yang diambil UMS dalam usaha menangani masalah gangguan bekalan air di kampusnya berikutan kekurangan penyaluran bekalan air bersih dari LRA di Telibong, Tuaran.

Masalah yang menjejaskan ribuan pengguna di sekitar Parlimen Sepanggar termasuk kampus UMS itu berpunca daripada ketidakupayaan LRA sedia ada menampung permintaan pengguna yang mencecah 190 juta liter sehari (MLD) berbanding kapasiti LRA hanya 164 MLD.

Kasim berkata, pihaknya juga merancang mendapatkan sumber air alternatif melalui telaga tiub yang akan digali di kawasan kampus bagi memastikan bekalan air yang terjamin untuk kegunaan warga UMS.

"Pembinaan telaga tiub dirancang untuk pelan jangka masa panjang. Kita akan mendapatkan bekalan air menggunakan kaedah ini lengkap dengan sistem rawatannya sekali," katanya.

Katanya, kampus induk UMS memerlukan antara tiga hingga lima MLD untuk menampung keperluan air terawat di dalam kampus.

Tangki tadahan air dari sumber air bukit. FOTO ihsan UMS
Tangki tadahan air dari sumber air bukit. FOTO ihsan UMS

Beliau berkata, tindakan yang diambil pihak universiti bagi menangani masalah kekurangan bekalan air ketika ini bukan penyelesaian yang menyeluruh, namun ia komited mengambil usaha perlu untuk mengurangkan impak catuan bekalan demi keselesaan warga kampus.

"UMS sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan warga kampus, khususnya pelajar, termasuk ketika universiti sedang menghadapi masalah kekurangan bekalan air di kampus induk Kota Kinabalu," katanya.

Sementara itu, JANS menjangkakan masalah gangguan bekalan air yang dihadapi sebahagian penduduk bandar raya Kota Kinabalu, khususnya di sekitar Parlimen Sepanggar dapat diselesaikan setelah LRA baharu yang sedang dibina di Tuaran siap tahun depan.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2023 @ 12:00 PM