Hazira Ahmad Zaidi


Machang: "Sedih bila mengenangkan duit berjumlah RM15,000 yang disimpan hasil daripada jualan hangus terbakar dalam sekelip mata.

"Kini saya terpaksa mengumpul semula duit itu yang digunakan untuk tujuan membaiki ruangan dapur yang sebahagian pembinaannya sudah pun dimulakan pada Ramadan lalu," kata Hanifah Dollah, 55, yang menceritakan kesedihan yang dialami selepas rumahnya di Kampung Belukar hangus dijilat api, pada petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 petang itu, suaminya, Md Arshad Ismail, 75, yang menghidap penyakit gout berada bersendirian di dalam rumah dan sempat keluar menyelamatkan diri.

Hanifah berkata, ketika kejadian dia tidak berada di rumah kerana keluar membeli barang jualan di Kota Bharu sebelum menerima panggilan telefon daripada salah seorang anaknya yang memaklumkan mengenai insiden berkenaan.

"Saya kemudiannya bergegas pulang dan setibanya di perkarangan rumah, saya hanya mampu melihat rumah yang didiami sejak 35 tahun lalu hangus dimamah api sehingga menyebabkan kami sekeluarga tinggal sehelai sepinggang.

"Segala dokumen penting pakaian, peralatan rumah hangus.

"Bagaimanapun, apa yang lebih menyedihkan lagi, kereta Proton Wira yang digunakan untuk saya berniaga turut hangus terbakar selain dua buah motosikal yang di parkir di hadapan rumah.

"Bukan itu saja, barang kemas yang dianggarkan bernilai RM40,000 yang disimpan di dalam kotak dan diletakkan di dalam almari juga tidak dapat diselamatkan," katanya ketika ditemui di tapak rumahnya yang terbakar di Kampung Belukar, di sini, hari ini.

Menceritakan semula kejadian berkenaan, Hanifah berkata, suaminya yang sedang berehat di atas sofa di ruang tamu terlihat percikan api di peti sejuk di ruangan dapur.

"Suami saya kemudiannya menyimbah air, namun tidak menyangka api tiba-tiba marak dan menyambar dinding ruangan dapur dan dalam keadaan kelam kabut dia berlari keluar menyelamatkan diri.

"Mujurlah suami saya tidak mengalami kecederaan dalam insiden itu kerana pada masa sama ketika menerima panggilan telefon, perkara utama yang paling dibimbangi adalah keadaan suami yang uzur," katanya.

Katanya, buat sementara waktu, dia dan suaminya kini terpaksa menumpang di rumah saudara terdekat yang terletak kira-kira 50 meter dari rumahnya yang terbakar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2023 @ 5:09 PM
MD Arshad sayu melihat kediaman keluarganya hangus di Kampung Belukar. FOTO Hazira Ahmad Zaidi.
MD Arshad sayu melihat kediaman keluarganya hangus di Kampung Belukar. FOTO Hazira Ahmad Zaidi.