HANAFI mencari barang berharga dalam timbunan abu.
HANAFI mencari barang berharga dalam timbunan abu.

Sepang: “Dalam tempoh beberapa saat selepas saya sekeluarga berjaya keluar, bumbung rumah runtuh. Jika gagal menyelamatkan diri, mungkin kami sekeluarga sudah arwah,” kata Imam Hanafi Makhtar, 35, yang tinggal sehelai sepinggang selepas rumahnya hangus terbakar.

Difahamkan, kejadian yang berlaku kira-kira jam 8.30 malam kelmarin itu bukan saja menyebabkan rumahnya musnah, malah enam daripada 11 unit deretan rumah panjang di Jalan Haji Supi, Kampung Salak Tengah, Salak Tinggi di sini turut mengalami nasib sama.

Akibat kejadian itu, 24 mangsa daripada tujuh keluarga mengalami kerugian selepas rumah mereka hangus.

Menceritakan kejadian itu, Imam Hanafi berkata, pada mulanya dia menyedari bau terbakar di kawasan rumah selepas pulang membeli barangan dapur bersama isteri dan anaknya berusia lima tahun.

“Saya sangka ada plastik terbakar. Puas saya mencari sekeliling rumah, tetapi tidak menjumpai sebarang benda terbakar.

“Saya kemudian masuk ke rumah dan menyiapkan diri untuk sembahyang Isyak. Ketika sedang solat, saya terdengar jeritan isteri yang menyatakan ada api,” katanya ketika ditemui Harian Metro di sini, semalam.

Mangsa yang juga seorang tukang rumah berkata, dia yang sedang berada dalam rakaat kedua terus berhenti solat dan cuba mencari jalan menyelamatkan diri.

“Kami sekeluarga cuba keluar melalui pintu depan, tetapi gagal membuka pintu.

“Kami kemudian bergegas menyelamatkan diri menerusi pintu belakang dan Alhamdulillah kami berjaya keluar dari rumah,” katanya.

Imam Hanafi berkata, sebaik keluar dari rumah, dia ternampak api sedang marak dan menjulang tinggi membakar kediamannya dan jiran lain.

“Tiada apa yang dapat diselamatkan termasuk dokumen pengenalan diri. Semuanya berada dalam rumah dan paling sedih saya juga kehilangan wang tunai RM700 yang turut terbakar dalam kejadian itu.

“Pagi tadi (semalam selepas kejadian), saya datang ke tapak rumah untuk mencari barang yang boleh diselamatkan. Saya mencari satu persatu di atas lantai rumah, namun tidak ada apa yang tinggal untuk kami sekeluarga,” katanya sebak.

Katanya, dianggarkan jumlah kerugian dialaminya lebih RM6,000 dan ia termasuk peralatan pertukangan rumah kepunyaannya.

Sementara itu, Penguasa Kanan Bomba II Ketua Zon Selangor Selatan Azmi Sadon ketika dihubungi berkata, Balai Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerima panggilan jam 8.54 malam dan mereka bergegas ke lokasi kejadian serta tiba di sana jam 9.07 malam.

Katanya, api dapat dipadamkan sepenuhnya enam minit kemudan dan semua rumah yang terbabit dalam kebakaran itu musnah seratus peratus.

“Punca kejadian dan kerugian dialami semua penghuni yang terbabit masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Oktober 2014 @ 5:48 AM