ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran melibatkan empat buah rumah teres di RPA Kampung Makmur. FOTO ihsan BOMBA
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran melibatkan empat buah rumah teres di RPA Kampung Makmur. FOTO ihsan BOMBA
Muhamad Lokman Khairi


Pasir Salak: Niat seorang wanita warga emas untuk memasak lauk tengah hari bertukar kepada insiden tidak diingini apabila api daripada dapur gas menyambar siling rumahnya sebelum mencetuskan kebakaran membabitkan empat kediaman di RPA Kampung Makmur di sini, pagi tadi.

Enshah Baharuddin, 74, berkata, dia yang tinggal berseorangan sejak kematian suaminya terkejut melihat api merebak.

"Jiran segera bawa saya keluar dari rumah. Api cepat marak, jiran juga halang saya masuk semula kerana risau berlaku perkara tidak diingini.

"Hangus semua barang-barang termasuk dokumen penting," katanya ditemui.

Seorang lagi mangsa, Hasmah Buyong, 43, berkata ketika kejadian, dia baru pulang daripada kedai runcit apabila melihat jiran membantu Enshah.

Katanya, ketika kejadian, dua anaknya berada di dalam rumah mereka yang terletak bersebelahan kediaman Ensha.

"Anak saya, Nurul Natasha Nur Hadi, berusia 18 tahun beritahu, dia terhidu bau hangus yang pada asalnya disangka akibat pembakaran sampah.

"Sebaik tiba di rumah, saya terus selamatkan Nurul Natasha dan adiknya yang berada di dalam kediaman, syukur kerana mereka selamat," katanya.

Hasmah akan menginap sementara di rumah ibu mentuanya di Changkat Tin, Batu Gajah manakala Enshah pula bersama anak lelakinya, Mohd Shahril Isa, 36, di Taman Botani, Ipoh.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Negeri Perak Penguasa Kanan Bomba I Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.39 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Gajah bergegas ke lokasi.

"Tiada kecederaan dilaporkan. Kebakaran membabitkan empat rumah dengan tiga musnah terbakar kira-kira 85 peratus, manakala sebuah lagi kira-kira 15 peratus," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 3:37 PM