SEBAHAGIAN murid memakai pelitup muka dan membawa air masak pada tinjauan sekolah pemakaian pelitup muka, dan berpakaian sukan. FOTO Aswadi Alias.
SEBAHAGIAN murid memakai pelitup muka dan membawa air masak pada tinjauan sekolah pemakaian pelitup muka, dan berpakaian sukan. FOTO Aswadi Alias.
Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) sudah mengeluarkan arahan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) seluruh negeri ini supaya menangguhkan sementara semua aktiviti luar susulan cuaca panas ketika ini.

Pengarahnya, Abdul Muie Ngah berkata, pihaknya menitikberatkan keselamatan serta kesihatan pelajar dan murid di negeri ini dengan melakukan beberapa langkah bagi menghadapi fenomena itu.

"Kita memandang serius situasi panas yang melampau ini dan apa yang kita lakukan adalah mahu memastikan keselamatan dan kesihatan murid serta pelajar diutamakan.

"Malah, kita juga memberi kelonggaran kepada guru, murid dan pelajar yang mahu memakai pakaian sukan ke sekolah seperti yang diumumkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Abdul Muie berkata, pihaknya juga mendapati setakat ini suhu di Terengganu masih terkawal dan tidak melebihi 37 darjah Celsius.

Menurutnya, hujan yang melanda Terengganu sejak dua hari lalu sedikit sebanyak membantu mengurangkan panas yang melampau di negeri ini.

"Alhamdulillah, setakat ini tiada laporan daripada PPD yang memerlukan sekolah perlu ditutup akibat fenomena panas sebaliknya sesi persekolahan boleh diteruskan seperti biasa.

"Bagaimanapun, kita juga merujuk apa jua keputusan yang dibuat dan arahan dikeluarkan KPM dari masa ke semasa," katanya.

Semalam, KPM dalam kenyataan memaklumkan murid, guru dan anggota pelaksana di semua institusi pendidikan di bawah kementeriannya diberi kebenaran khas memakai pakaian atau baju sukan ketika cuaca panas bagi mengelakkan sebarang komplikasi kepada kesihatan.

KPM juga memaklumkan pemakaian tali leher juga tidak diwajibkan bagi murid yang memakai pakaian seragam sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2023 @ 12:15 PM