Nur Izzati Mohamad

Nibong Tebal: Kementerian Pendidikan (KPM) belum membuat sebarang ketetapan atau garis masa berhubung pemakaian semula pakaian seragam sekolah biarpun keadaan cuaca pada ketika ini semakin baik.

Berikutan itu, semua pelajar dan murid sekolah di seluruh negara dibenarkan memakai pakaian sukan seperti biasa.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya masih memberi kebenaran kepada pelajar dan murid berpakaian selain daripada baju seragam ke sekolah.

"Pergi sahaja sekolah (dengan berpakaian) apa sahaja (kemas dan bersesuaian), asalkan yang penting pakai baju," katanya ketika ditanya berhubung jangkaan KPM untuk mengembalikan semula pemakaian baju seragam sekolah seperti biasa susulan keadaan cuaca yang semakin baik.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Pembinaan Karakter Bangsa Malaysia Pelajar Lepas Menengah di Dewan Dato' Haji Ahmad Salleh, di sini, hari ini.

FADHLINA (tengah) ditemui media ketika hadir pada Program Pembinaan Karakter Bangsa Malaysia Pelajar Lepas Menengah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Tahun 2023 di Dewan Dato’ Haji Ahmad Salleh Kampung Permatang Keling. FOTO Danial Saad
FADHLINA (tengah) ditemui media ketika hadir pada Program Pembinaan Karakter Bangsa Malaysia Pelajar Lepas Menengah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Tahun 2023 di Dewan Dato’ Haji Ahmad Salleh Kampung Permatang Keling. FOTO Danial Saad

Pada 3 Mei lalu, KPM memberikan kebenaran khas kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya untuk memakai pakaian sukan semasa cuaca panas dan kering.

Murid yang memakai pakaian seragam sekolah pula tidak diwajibkan memakai tali leher, memandangkan keadaan cuaca panas boleh mencetuskan gelombang haba yang memudaratkan kesihatan.

Sebelum ini Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata, cuaca panas yang melanda negara dijangka berlarutan sehingga Ogos, dan negeri yang paling terkesan adalah di utara dan pantai timur.

Dalam pada itu, Fadhlina dalam laporan media sebelum ini memaklumkan bahawa pelajar dibenar terus memakai baju sukan ke sekolah sehingga diberitahu sebaliknya.

Menjelaskan tiada had masa untuk pemakaian itu, beliau berkata kementerian memberi kelonggaran itu kepada semua pihak sehingga ada pengumuman baharu kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2023 @ 3:32 PM