WARIS sambut baik keputusan  pemakaian berkenaan, anggap lebih  praktikal mudah bergerak
WARIS sambut baik keputusan pemakaian berkenaan, anggap lebih praktikal mudah bergerak
Suliati Asri

Pada 3 Mei lalu, Kementerian Pendidikan memberikan kebenaran khas kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya untuk memakai pakaian sukan ketika cuaca panas serta kering.

Murid yang memakai pakaian seragam sekolah pula tidak diwajibkan memakai tali leher, memandangkan keadaan cuaca panas boleh mencetuskan gelombang haba yang memudaratkan kesihatan.

Langkah itu diambil berikutan ketika itu keadaan panas yang melanda negara dan dijangka berlarutan sehingga Ogos dan negeri yang paling terkesan adalah di utara dan pantai timur.

Terbaru, pelajar masih terus dibenarkan memakai baju sukan ke sekolah walaupun keadaan cuaca pada masa ini semakin baik.

Kementerian juga belum membuat ketetapan atau garis masa berhubung pemakaian semula pakaian seragam sekolah.

Ternyata kenyataan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek itu disambut baik terutama ibu bapa dan pelajar serta murid sekolah.

Suri Rumah, Nurazura Che Mat, 37, berkata, dia menyambut baik keputusan itu kerana pemakaian baju sukan adalah lebih praktikal dan memudahkan pergerakan anak-anak ketika di sekolah.

Dia juga bersetuju jika pemakaian baju sukan ini boleh dilaksanakan sehingga sesi persekolahan 2023 ini tamat.

MURID lebih bebas dan selesa bergerak apabila memakai baju sukan.
MURID lebih bebas dan selesa bergerak apabila memakai baju sukan.

"Di sekolah, anak-anak banyak bergerak dan mereka juga perlu turun naik tangga ke kelas. Jadi, lebih sesuai berpakaian sukan.

"Oleh itu, kalau pemakaian baju sukan dilaksanakan sehingga penggal akhir persekolahan 2023, saya sangat setuju.

"Pihak kementerian juga mungkin boleh berbincang kembali hari pemakaian pakaian seragam ke sekolah. Mungkin pakaian seragam hanya diwajibkan pada Isnin dan pada acara rasmi sahaja," katanya.

Sepanjang tiga bulan pelaksanaan pemakaian baju sukan ke sekolah ini dilaksanakan disebabkan cuaca panas melampau, rata-rata pelajar dan murid sekolah nampak ceria.

Nurazura yang juga ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, anak-anaknya memang kelihatan ceria dan mereka mengatakan lebih selesa apabila memakai baju sukan.

"Anak-anak juga mengatakan mereka tidak panas dan mudah bergerak sepanjang sesi persekolahan.

"Pemakaian uniform setiap hari membuatkan mereka tidak selesa di dalam kelas terutamanya pelajar lelaki kerana perlu berpakaian lengkap bertali leher," katanya.

Pemakaian baju sekolah juga memudahkan kerja ibu bapa kerana ia dapat mengurangkan masa menggosok baju terutamanya yang mempunyai ramai anak yang bersekolah.

"Bagi anak yang bersekolah di asrama pula, pemakaian baju sukan sangat memudahkan dan menjimatkan masa mereka untuk mencuci serta menggosok pakaian sendiri," katanya.

Sementara itu, Pegawai Teknologi Maklumat, Mohd Noor Ramly, 46, turut menyambut baik keputusan yang diumumkan Menteri Pendidikan dengan membenarkan anak terus memakai pakaian sukan.

Ini kerana katanya, anak-anak lebih selesa memakai pakaian sukan sepanjang sesi persekolahan.

"Anak-anak juga lebih memilih untuk memakai pakaian sukan berbanding pakaian seragam sekolah kerana mereka lebih mudah bergerak memandangkan kelas berada di tingkat tiga.

"Bukan itu saja, anak-anak juga tidak perlu membawa pakaian sukan secara berasingan kerana mereka sering terbabit dengan pertandingan sukan dan tarian yang memerlukan latihan selepas waktu persekolahan," katanya.

Pemakaian baju sukan ke sekolah terutama untuk murid sekolah rendah adalah lebih praktikal kerana mereka agak aktif.

Menurut Mohd Noor yang juga bapa kepada tiga cahaya mata itu, dengan pakaian seragam, pergerakan anak-anak menjadi terhad terutama ketika hendak menaiki tangga, berjalan laju dan mudah kotor.

"Namun setiap sekolah mempunyai peraturan yang perlu kita patuhi. Sebagai contoh, sekolah anak saya mewajibkan pemakaian seragam pada hari Isnin sahaja kerana ada perhimpunan mingguan.

SESI pembelajaran dalam kelas lebih selesa dengan pemakaian baju sukan.
SESI pembelajaran dalam kelas lebih selesa dengan pemakaian baju sukan.

"Pada hari lain tidak diwajibkan dan bebas memilih sama ada pakaian sukan atau seragam sekolah," katanya.

Sementara itu, Profesor Madya Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Mohd Mursyid Arshad berkata, pelaksanaan pakaian seragam sekolah pada asalnya adalah hasil syor yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Pakaian Seragam Sekolah-Sekolah pada Jun 1969.

Ia bertujuan untuk menggalakkan rasa kesaksamaan dalam kalangan murid dan sebagai kod etika pakaian yang selaras di seluruh negara yang sekali gus mengelakkan penggayaan fesyen yang tidak sesuai apabila ke sekolah.

Namun, berlaku perkembangan reka bentuk dan tatacara penggunaan pakaian seragam antaranya pemakaian blazer, tali leher, vest, warna pakaian seragam dan sebagainya diperkenalkan sebagai melambangkan identiti dan jawatan yang disandang murid di sekolah.

"Langkah Kementerian Pendidikan untuk belum menentukan garis masa pemakaian pakaian sukan di sekolah sepanjang tempoh pengajaran dan pembelajaran tentu ada asasnya.

"Ini kerana perubahan iklim cuaca panas yang tidak menentu dan mempertimbangkan faktor keselesaan murid, kesan kepada kesihatan dan kesesuaian aktiviti di sekolah lebih-lebih lagi membabitkan aktiviti kokurikulum dan sukan," katanya.

Dr Mohd Mursyid berkata sudah semestinya murid akan lebih selesa berpakaian sukan.

Namun pada masa sama dapat, katanya pakaian seragam juga dipakai mengikut keperluan tertentu yang ditetapkan oleh pihak sekolah dan Jabatan Pendidikan Negeri atau Daerah.

"Cadangan untuk membenarkan pemakaian pakaian sukan dan pada masa sama menyeimbangkan antara penggunaan pakaian seragam dan pakaian sukan adalah langkah yang terbaik.

"Ia bagi menjamin rasa tanggungjawab dan semangat untuk menuntut ilmu, selain daripada menjamin keselesaan, kesihatan dan keselamatan murid ke sekolah.

"Bagaimanapun, pemakaian sukan pelajar perlu sopan dan tertib serta mengikut peraturan dan garis panduan yang ditetapkan pihak sekolah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2023 @ 7:00 AM