Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan tiga kru yang hilang dalam kebakaran sebuah kapal tangki, MT Pablo di kedudukan 37.5 Batu nautika timur laut di Tanjung Sedili, Kota Tinggi, semalam masih berada di atas kapal berkenaan.

Pemangku Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim, berkata operasi carilamat oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) gagal menemukan sebarang petunjuk keberadaan tiga kru berkenaan setakat operasi digerakkan 4 petang semalam.

Katanya, operasi SAR juga sudah diperluaskan sehingga 71 Batu nautika persegi dari lokasi kejadian.

"Tiga kru yang masih hilang membabitkan dua warga India iaitu Satyam Tripathi, 26, dan Dinesh Kumar Chauchan, 34, dan warga Ukraine,Sabit Shenderovsky, 37.

"Ada kemungkinan ketiga-tiga kru masih berada di atas kapal berkenaan, namun pasukan SAR tidak dapat menaiki kapal tangki itu setakat ini berikutan keadaan masih berbahaya dengan asap yang tebal.

"Kebakaran yang memusnahkan 50 peratus bahagian tengah kapal itu sudah terpadam dan kapal masih terapung, namun pemantauan yang dilakukan mendapati tiada sebarang tumpahan minyak kapal berlaku di sekitar lokasi kejadian setakat ini.

"Anggota Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) akan tiba ke lokasi kapal tangki itu pagi esok bagi membuat pemeriksaan lanjut di atas kapal selain mengenal pasti punca sebenar kebakaran sebelum pasukan SAR menyusul bagi mengesan tiga kru yang masih hilang," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Maritim Negeri Johor, di sini, hari ini.

Semalam, tiga kru dilaporkan hilang dalam kebakaran sebuah kapal tangki di kedudukan 37.5 Batu nautika timur laut di Tanjung Sedili di sini, petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria dilaporkan berkata, panggilan kecemasan diterima pada 4 petang membabitkan kapal tangki yang berdaftar dari Gabon, Afrika dilaporkan dalam perjalanan dari China menuju ke Singapura bersama 28 kru kapal.

Dalam pada itu, Saiful Lizan berkata, seramai 25 kru MT Pablo berjaya diselamatkan dengan bantuan dua kapal yang berada berhampiran lokasi kejadian.

Katanya, seramai empat kru mengalami kecederaan serius di tangan, pinggang dan kaki dengan kesemuanya telah dikejarkan ke Hospital Kota Tinggi untuk mendapatkan rawatan di sana.

Dalam perkembangan lain, Saiful Lizan berkata Maritim Malaysia turut meminta bantuan agensi lain termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Laut Malaysia selain Pelabuhan Johor dan Pasir Gudang, bagi mengesan tiga kru kapal tangki yang masih hilang.

"Antara aset yang digunakan termasuk pesawat udara AW139 milik Maritim Malaysia, Kapal KD Pendekar (TLDM) manakalan Jabatan Laut Wilayah Selatan selain Pelabuhan Pasir Gudang menggerakkan bot tunda mereka.

"Seramai 136 pegawai dan anggota terbabit dalam ops SAR ini," katanya.

Sementara itu, Master Lepyoshkin Oleksandr dari Russia, yang juga Kapten Kapal Tangki MT Pablo berkata, kejadian kebakaran kapal tangki itu berlaku secara tiba-tiba ketika ia sedang dalam perjalanan ke Singapura bagi mengambil muatan minyak mentah di republik berkenaan.

"Berlaku letupan kuat seperti bom jatuh atas kapal sehingga tingkap kaca atas kapal pecah sebelum ia terbakar. Saya cuba membuat panggilan kecemasan namun peralatan di atas kapal semuanya sudah rosak dan terbakar.

"Kami bernasib baik kerana ada dua kapal berada berhampiran yang memberikan bantuan kecemasam segera termasuk membantu menyelamatkan kru kami yang sedang panik dan ketakutan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2023 @ 5:04 PM