Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memohon bantuan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Indonesia untuk membantu mengesan tiga kru Kapal MT Pablo yang dilaporkan hilang.

Pengarah APMM Johor Laksamana Pertama Nurul Hizam Zakaria berkata, ia berikutan ada kemungkinan mangsa hanyut memasuki perairan Tanjung Pinang, Indonesia berdasarkan simulasi daripada Search and Rescue Optimal Planning System (SAROPS).

Beliau berkata, setakat ini pencarian dalam kapal belum dimulakan berikutan penilaian masih menunjukkan keadaan kapal tidak selamat untuk Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (Hazmat) memulakan operasi pencarian.

"Kapal KD Pendekar milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selaku koordinator di lokasi dan kapal MV Polaris dari Jabatan Laut Malaysia melakukan usaha semburan air di bahagian badan kapal tangki MT Pablo dan memantau situasi semasa keadaan kapal tangki terbabit.

"Kami juga sudah memohon bantuan daripada Basarnas Indonesia bagi mengesan kru yang hilang berkenaan di Tanjung Pinang. Usaha pencarian di laut turut dibantu Pasukan Polis Marin dengan keluasan sektor pencarian 393 batu nautika persegi," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

PASUKAN keselamatan memantau kapal MT Pablo (gambar fail). FOTO Ihsan APMM
PASUKAN keselamatan memantau kapal MT Pablo (gambar fail). FOTO Ihsan APMM

Nasib tiga kru kapal MT Pablo yang hilang selepas kapal itu terbakar pada Isnin lalu masih kabur sehingga kini.

Kapal tangki MT Pablo terbakar kira-kira 50 peratus bahagian tengahnya di kedudukan 37.5 batu nautika timur laut Tanjung Sedili, Kota Tinggi.

Kru yang hilang adalah Satyam Tripathi, 26 dan Dinesh Kumar Chauhan, 34, masing-masing warga India, selain Sabit Shenderovsky, 37, dari Ukraine. Seramai 25 kru MT Pablo yang lain selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2023 @ 7:51 PM