Kapal tangki MT Pablo. FOTO APMM
Kapal tangki MT Pablo. FOTO APMM
BERNAMA

Johor Bahru: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga kru kapal MT Pablo yang masih hilang selepas kapal itu terbakar pada Isnin lalu ditangguhkan sehingga petunjuk baharu ditemui.

Pengarah Maritim Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata operasi yang memasuki hari kelima itu ditangguhkan pada pukul 7 malam tadi.

"Berdasarkan hasil pencarian dan penilaian keselamatan kapal, pihak pihak Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru telah menangguhkan operasi ini sehingga petunjuk baharu ditemukan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya terdahulu, usaha pencarian membabitkan antaranya 31 pegawai dan anggota Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) selain 11 anggota pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (HAZMAT) dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Beliau seterusnya mengucapkan terima kasih kepada pihak yang terbabit sepanjang operasi, termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Laut Malaysia (JLM), JBPM, Kementerian Kesihatan, Lembaga Pelabuhan Johor dan Pasir Gudang serta Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS), Indonesia.

Dua daripada kru kapal yang hilang itu dikenal pasti sebagai warganegara India iaitu Satyam Tripathi, 26, dan Dinesh Kumar Chauhan, 34, manakala seorang lagi adalah warga Ukraine iaitu Sabit Shenderovskyi, 37.

Kapal tangki MT Pablo berdaftar di Gabon, Afrika terbakar kira-kira 50 peratus pada kedudukan 37.5 batu nautika timur laut Tanjung Sedili di Kota Tinggi pada 1 Mei lalu.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2023 @ 11:26 AM