Mohd Rizal Abdullah


KRU MV Ocean Geos, Mohamad Saiful Ashnar, 31, yang dilaporkan hilang ketika kapal sokongan carigali minyak itu terbakar di Perairan Kuala Baram, Miri, semalam ditemui mati, petang tadi.

Mayat mangsa ditemui di bahagian dalam badan kapal, 1.30 petang selepas pasukan penyelamat menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dalam 'perut' kapal berkenaan, pagi tadi.

Pengarah Maritim Daerah Miri (DM13), Kapten Md Fauzi Othman berkata, mayat ditemui empat anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Miri yang dipertanggungjawabkan bagi tugas berkenaan.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jeti Marina Bay sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Katanya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mendapatkan bantuan anggota bomba terbabit berikutan kemahiran dan pengalaman mereka mengendalikan kes seumpamanya, termasuk menghadapi risiko kebocoran gas beracun.

"Ini sebahagian daripada usaha pasukan penyelamat dalam usaha mengesan kru berkenaan yang dilaporkan hilang ketika kapal sokongan itu terbakar susulan letupan di bilik enjinnya awal pagi semalam," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 3 pagi semalam, kapal sokongan carigali minyak, MV Ocean Geos, yang sedang menjalankan kerja-kerja survei untuk PETRONAS terbakar selepas berlaku letupan di bilik enjinnya.

Ketika kejadian, kapal berkenaan berada pada jarak lima batu nautika dari Tanjung Baram, Kuala Baram, di sini menyebabkan 38 kru bertugas bertindak nekad terjun ke laut untuk menyelamatkan diri dengan dua daripadanya melecur dan luka.

Mereka berjaya diselamatkan oleh beberapa kapal sokongan lain yang berada di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, sumber memberitahu mangsa dikatakan satu-satunya kru yang terperangkap dan tidak sempat terjun ke laut dari tragedi kebakaran kapal itu.

"Difahamkan mangsa juga tidak dilihat ketika 'kiraan kepala' dilakukan oleh kapten kapal sebelum semua kru diarahkan terjun dari kapal untuk menyelamatkan diri," katanya.

Sementara itu, siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak berkaitan bagi mengenalpasti punca sebenar letupan dan kebakaran yang memusnahkan hampir keseluruhan kapal berkenaan.

Berita berkaitan

Kapal Ocean Geos terbakar

[UPDATE] 1 hilang, 2 cedera, 36 selamat [METROTV]

[UPDATE] Cari Mohamad Saiful dalam 'perut' kapal

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 April 2018 @ 5:37 PM
ANGGOTA Penyelamat menemui mayat Mohamad Saiful Ashnar, 31, di dalam dalam 'perut' kapal pada jam 1.30 petang tadi selepas lebih 30 jam operasi mencari dan mengesan mangsa di perairan Baram, Miri. FOTO Mohd Rizal Abdullah
ANGGOTA Penyelamat menemui mayat Mohamad Saiful Ashnar, 31, di dalam dalam 'perut' kapal pada jam 1.30 petang tadi selepas lebih 30 jam operasi mencari dan mengesan mangsa di perairan Baram, Miri. FOTO Mohd Rizal Abdullah