Mary Victoria Dass


Kota Tinggi: Tiga kru dilaporkan hilang dalam kebakaran sebuah kapal tangki di kedudukan 37.5 Batu nautika timur laut di Tanjung Sedili di sini hari ini.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, panggilan kecemasan diterima pada 4 petang hari ini.

Beliau berkata, kapal tangki yang berdaftar dari Gabon, Afrika dilaporkan dalam perjalanan dari China menuju ke Singapura bersama 28 kru kapal.

Menurutnya, operasi Carilamat dilaksanakan dan sebuah bot ronda Maritim Malaysia PETIR 12 digerakkan ke lokasi kejadian.

Katanya, seramai 23 kru berjaya diselamatkan dua kapal berhampiran lokasi kejadian.

"Bagaimanapun tiga lagi kru kapal dilaporkan masih hilang dan operasi Carilamat sedang dijalankan bagi mengesan mereka.

"Punca kejadian masih dalam siasatan," katanya menerusi siaran media hari ini.

Nurul Hizam berkata, maklumat lanjut berkaitan kru yang hilang sedang diperoleh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2023 @ 9:07 PM