Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Sambutan rakyat Kedah yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani nyata luar biasa apabila hampir 15,000 pengunjung hadir sehingga jam 3 petang ini.

Lebih menarik apabila Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor turut hadir di sebalik kontroversi yang tercetus susulan penganjuran rumah terbuka Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dibuat pertama kali di luar Putrajaya.

Muhammad Sanusi dilihat mengiringi Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang turut mencemar duli hadir bagi memeriahkan majlis bersama rakyat Kedah.

Sanusi turut dilihat duduk semeja bersama Sultan Kedah dan Anwar selain tetamu kenamaan lain termasuk Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Norizan Khazali.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi mendakwa majlis rumah terbuka berkenaan adalah pembaziran kerana dirancang diadakan di enam negeri yang bakal melangsungkan Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam tempoh terdekat ini.

Beliau juga tidak mengesahkan kehadirannya berikutan mendakwa tidak mendapat jemputan rasmi, namun mengesahkan kehadirannya pada saat akhir apabila perlu mengiringi Sultan Kedah yang berangkat ke majlis berkenaan.

Difahamkan, jemputan rasmi kepada Menteri Besar itu dibuat Kerajaan Pusat pada pagi Khamis lalu, ketika beliau sedang sibuk mengadakan Majlis Aidilfitri di kediaman rasminya di Seri Mentaloon.

Selain Kedah, Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri dijadual diadakan di Pulau Pinang pada 6 Mei, Negeri Sembilan (7 Mei), Kelantan (12 Mei), Terengganu (13 Mei) dan Selangor (14 Mei).

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2023 @ 4:31 PM