DATUK Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama jemaah ketika tiba di Masjid As-Salam, Taman Petaling Utama untuk  menunaikan solat Jumaat hari ini. FOTO Bernama.
DATUK Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama jemaah ketika tiba di Masjid As-Salam, Taman Petaling Utama untuk menunaikan solat Jumaat hari ini. FOTO Bernama.
Mohd Nasaruddin Parzi


Petaling Jaya: Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan bahawa pemilihan tiga negeri pembangkang untuk penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri tahun ini ada kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata, penganjuran majlis sama yang bakal dihadiri ribuan rakyat turut akan diadakan di Selangor, negeri ditadbir parti kerajaan.

"Negeri ada banyak. Semua ada. Selangor pun ada. Tak benar (kerajaan hanya tumpu untuk buat di negeri pembangkang)," katanya ringkas ditemui media selepas selesai solat Jumaat di Masjid As-Salam di Sri Manja di sini, hari ini.

Terdahulu beliau ditanya mengapa kerajaan hanya menumpukan penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri hanya di tiga negeri pembangkang, sama ada ia ada kaitan dengan PRN akan datang.

PRN enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu dijangka akan berlangsung pada Jun atau Julai ini.

Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataan semalam memaklumkan Anwar tidak akan menganjurkan Rumah Terbuka Aidilfitri yang biasanya berlangsung pada 1 Syawal di kediaman rasmi beliau di Kompleks Seri Perdana di Putrajaya.

Sebaliknya, JPM berkata buat julung kalinya, Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri akan diadakan di tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Sementara, tiga lagi Rumah Terbuka Aidilfitri akan dihadiri Perdana Menteri yang dianjurkan masing-masing oleh kerajaan negeri Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Terdahulu, Anwar menyertai kira-kira 1,000 jemaah menunaikan solat Jumaat di Masjid As-Salam, Sri Manja di sini hari ini.

Beliau tiba kira-kira jam 12.50 tengahari tadi disambut jawatankuasa kariah masjid berkenaan, sebelum menyertai jemaah lain mendengar tazkirah Jumaat.

Selesai solat, Anwar sempat beramah mesra dengan jemaah selain menyempurnakan majlis ringkas penyampaian pek Bakul Madani kepada rakyat memerlukan bagi meringankan beban mereka menyambut Aidilfitri kali ini. .

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2023 @ 2:55 PM