AHMAD Yakob (dua kiri) pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
AHMAD Yakob (dua kiri) pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris


Tumpat: Kerajaan negeri berlapang dada menerima penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya tiada halangan dan terbuka atas dasar ia penganjuran oleh Kerajaan Persekutuan dan sangat berbesar hati menerima jemputan.

Bagaimanapun beliau tidak menafikan mungkin penganjuran itu ada kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang namun ia terpulang kepada pihak penganjur dan menzahirkan rasa hormat atas penganjuran majlis itu.

"Kita dapat surat daripada (Kerajaan Persekutuan) dan kita tiada halangan sebaliknya bersetuju kerana persiapan dibuat oleh Kerajaan Persekutuan dan kita dijemput bersama.

"Kiranya penganjuran ini membabitkan enam negeri yang belum ada Pilihan Raya Negeri (PRN). Mungkin ada la tujuan tu, terpulang atas dia, kita tak boleh nak jangka.

"Kita sebagai kerajaan negeri, terimalah dan kita terbuka atas dasar (Kerajaan Persekutuan) dan negeri... walau dari segi parti berbeza tapi dari segi kerajaan, kita hormat," katanya ketika ditemui di majlis rumah terbuka beliau di Kampung Alor Pasir, Wakaf Bharu di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan bahawa pemilihan tiga negeri pembangkang iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah untuk penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri tahun ini ada kaitan dengan PRN akan datang.

Sebaliknya, Perdana Menteri dilaporkan berkata, penganjuran majlis sama yang bakal dihadiri ribuan rakyat turut akan diadakan di Selangor, negeri ditadbir parti kerajaan.

Dalam perkembangan musim kemarau yang melanda di negeri ini, Ahmad berkata, setakat ini pihaknya menerusi Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sudah mengagihkan bekalan air ke kawasan yang kritikal menggunakan lori.

Beliau berkata, sejak 15 Ramadan terakhir baru-baru ini juga, pengurusan masjid dan surau disarankan untuk memohon doa dalam Solat Sunat Witir sebagai ikhtiar turunkan hujan.

"Baru-baru ini kita sudah keluarkan arahan pada semua, minta rakyat kita di madrasah atau masjid untuk minta hujan dalam doa Qunut, Solat Witir sepanjang 15 Ramadan terakhir supaya Allah turunkan hujan.

"InsyaAllah ulama akan bincangkan bagaimana kaedah kita nak adakan solat khusus untuk minta hujan," katanya.

Terdahulu rumah terbuka yang dianjurkan di kediaman beliau di sini bermula 11 pagi tadi dihadiri kira-kira 2,000 tetamu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 April 2023 @ 1:03 PM