Siti Rohana Idris

Tumpat: Kerajaan negeri berlapang dada menerima penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri yang dijangka diadakan di negeri ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya tiada halangan dan terbuka atas dasar ia penganjuran Kerajaan Persekutuan dan sangat berbesar hati menerima jemputan.

Bagaimanapun beliau tidak menafikan kemungkinan penganjuran itu ada kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beliau bagaimanapun menyerahkannya kepada pihak penganjur serta menzahirkan rasa hormat atas penganjuran majlis itu.

"Kita dapat surat daripada (kerajaan) Persekutuan dan kita tiada halangan. Sebaliknya bersetuju kerana persiapan dibuat oleh Kerajaan Persekutuan dan kita dijemput bersama.

"Kiranya penganjuran ini membabitkan enam negeri yang belum ada Pilihan Raya Negeri (PRN). Mungkin ada la tujuan itu... terpulang atas dia (Kerajaan Persekutuan) kita tak boleh nak jangka.

"Kita sebagai kerajaan negeri, terimalah dan kita terbuka atas dasar (Kerajaan) Persekutuan dan negeri...walau berbeza (parti) namun kita hormat," katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka di Kampung Alor Pasir, Wakaf Bharu di sini, tadi.

AHMAD Yakob ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kampung Alor Pasir. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
AHMAD Yakob ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kampung Alor Pasir. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan bahawa pemilihan tiga negeri pembangkang iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah bagi penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri tahun ini ada kaitan dengan PRN akan datang.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata, penganjuran majlis sama yang bakal dihadiri ribuan rakyat turut akan diadakan di Selangor dan negeri ditadbir parti kerajaan.

Dalam perkembangan musim kemarau yang melanda di negeri ini, Ahmad berkata, setakat ini pihaknya menerusi Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sudah mengagihkan bekalan air ke kawasan yang kritikal menggunakan lori.

Beliau berkata, sepanjang 15 Ramadan terakhir baru-baru ini juga, pengurusan masjid dan surau disarankan untuk memohon doa dalam Solat Sunat Witir sebagai ikhtiar memohon hujan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 April 2023 @ 1:35 PM