SALAHUDDIN Ayub (dua kanan) diiringi Datuk Mohd Khay Ibrahim (tiga kanan) melihat menu RAHMAH.
SALAHUDDIN Ayub (dua kanan) diiringi Datuk Mohd Khay Ibrahim (tiga kanan) melihat menu RAHMAH.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Gombak: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yakin inisiatif Menu Rahmah mampu bertahan sekiranya tiada kenaikan mendadak harga bahan mentah.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, beliau yakin tidak akan berlaku kenaikan secara mendadak bahan mentah utama seperti ayam, ikan, dan beras kerana harga bahan terbabit dikawal kementerian.

"Saya yakin ia boleh bertahan sebab harga beras ini kita kawal. Jadi tidak mungkin harga beras akan naik RM30 satu kilogram (kg) contohnya sebab harga beras kita kawal. Mungkin kita cuba cari pakej di mana pemain industri Menu Rahmah dapat beras dengan lebih murah.

"Harga ayam kita kawal siling pada RM9.40 satu kg malah ada pasar raya jual lebih murah dari harga itu. Jadi tidak mungkin harga ayam tiba-tiba naik mendadak," katanya pada sidang media selepas melancarkan program Fisioterapi Rahmah di sini, hari ini.

Salahuddin berkata, berdasarkan pemantauan pihaknya mendapati harga sayur terkini mengalami penurunan sehingga 30 peratus malah peniaga Menu Rahmah juga boleh menggunakan minyak masak paket bersubsidi untuk tujuan perniagaan.

"Saya rasa itu asas yang kukuh. Jadi kalau tanya boleh tahan atau tidakā€¦bagi saya, selagi mana harga barangan terkawal dan tiada kenaikan melampau selagi itu boleh bertahan.

"Selagi mana ada rahmah dalam hati pemain industri selagi itu jugalah Menu Rahmah ini akan bertahan. Jadi kenapa ada prejudis yang menyatakan Harga Rahmah ini tak boleh kekal?" katanya.

Sementara itu katanya, KPDN dalam perbincangan lanjut dengan dua syarikat bagi mengeluarkan plan perlindungan insuran yang sesuai untuk melaksanakan insurans berharga Rahmah.

Selain itu, pihaknya juga dijangkakan akan bertemu dengan pemain industri dalam industri perbankkan selepas Aidilfitri bagi mengenal pasti jenis-jenis perkhidmatan yang dapat ditawarkan di bawah inisiatif Payung Rahmah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2023 @ 3:04 PM