GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Essa Abu Yamin


Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengumumkan berita baik buat peniaga Menu Rahmah Selasa depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, berita baik itu membabitkan harga bahan mentah lebih rendah terutamanya kepada 1,700 peniaga Menu Rahmah yang berdaftar dengan KPDN.

"KPDN sedang melakukan pelbagai libat urus dalam memastikan hasrat berkenaan tercapai dan yakin ia akan dapat diselesaikan segera.

"Libat urus ini akan terus diadakan supaya pasar raya besar boleh juga memberikan tawaran Rahmah kepada semua peniaga menu Rahmah," katanya ketika sidang media selepas mengadakan sesi walkabout sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Aidilfitri 2023 di Pasaraya Lotus Selayang, di sini hari ini.

Menurut Salahuddin, mungkin peniaga berkenaan akan diberi kad atau pengenalan khas.

"Apabila mereka menunjukkan kad yang sahih mereka boleh pergi ke pasar raya yang mengambil bahagian dalam inisiatif berkenaan untuk beli dengan harga lebih rendah daripada biasa," katanya.

Katanya, berdasarkan cadangan, peniaga akan mendapat harga lebih rendah bagi barangan asas seperti beras, ayam, ikan, sayur dan bahan lain seperti bawang, halia serta cili .

"Perincian mengenai barangan dan mekanisme inisiatif berkenaan masih lagi dalam perbincangan dan akan diumumkan Perdana Menteri nanti.

"Insya-Allah ini berita gembira dalam pakej berita gembira yang Perdana Menteri akan umumkan Selasa ini," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Salahuddin berkata KPDN memberi jaminan bahawa bekalan barangan asas adalah mencukupi menjelang sambutan Aidilfitri ini.

"Sehingga pagi tadi pihak KPDN masih lagi melakukan sesi libat urus dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) terutamanya membabitkan Jabatan Perikanan, Jabatan Veterina dan para pembekal.

"Jika ada apa-apa perubahan pastinya KPDN akan memberi notis awal mengenai mana-mana barangan yang tidak mencukupi di pasaran.

"Setakat ini tidak perlu bimbang kerana berdasarkan maklumat KPDN dan KPKM bahawa bekalan adalah mencukupi menjelang Aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2023 @ 3:50 PM