SALAHUDDIN mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas melancarkan Majlis Jualan Rahmah di Putrajaya.  FOTO Mohd Fadli Hamzah.
SALAHUDDIN mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas melancarkan Majlis Jualan Rahmah di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
Irwan Shafrizan Ismail


Bangi: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengingatkan peniaga yang menyertai inisiatif Jualan Rahmah supaya memastikan barangan atau makanan yang dijual berkualiti dan berpatutan dengan harga rahmah.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata sekiranya kualiti tidak dijaga biarpun dijual pada harga rahmah, ia hanya akan menjejaskan kredibiliti dan nama peniaga.

"Secara keseluruhannya kita boleh anggap inisiatif Rahmah termasuk Jualan Rahmah di bazar Ramadan mendapat sambutan menggalakkan.

"Namun KPDN beri peringatan, kalau jual pada harga Rahmah, pastikan sama ada menu (makanan) atau kainnya (pakaian) yang dijual adalah berkualiti.. jangan jual barang 'cikai' atau cincai-cincai, nanti dapat aduan daripada rakyat.

"Untuk pakaian atau tekstil, KPDN sendiri sudah membuat libat urus bersama gedung-gedung tekstil, pastikan kualiti yang ditawarkan itu benar-benar premium, jangan buat Jualan Rahmah kalau tidak dengan kerelaan," katanya selepas melancarkan Karnival Jualan Rahmah Raya 2023 di sini hari ini.

Karnival itu mengumpulkan beberapa pemain industri textil dan peniaga di bawah satu Payung Rahmah antaranya Elrah Exclusive, Aranorissa Fashion, Sutera Ungu selain peniaga Kompleks PKNS Bangi yang menawarkan harga Jualan Rahmah Kasih Sayang dengan potongan harga sehingga 30 peratus.

Selain itu Salahuddin berkata, memasuki hari ke-15 Ramadan, KPDN sudah menerima lebih kurang 250 aduan daripada pengguna berkait bazar Ramadan.

"Namun selepas diteliti aduan itu, kesalahan kebanyakannya berbentuk seperti tidak meletakkan tanda harga manakala berkait kenaikan harga hanya kes terpencil.

"Begitu juga dengan aduan berkait isu kualiti makanan, kita sampaikan perkara itu kepada Kementerian Kesihatan untuk ambil tindakan lanjut," katanya.

Ditanya mengenai menu Rahmah makanan tidak halal yang cuba dijadikan isu, beliau berkata, pihak yang mengadu itu disifatkan hanya suara terpencil kononnya Rahmah itu tidak boleh digunakan bagi menu tidak halal.

"Tapi kita jelas ini jualan Rahmah yang kita lancarkan adalah rahmah untuk semua, bukan Islam buat menu Rahmah tidak bercanggah pun dengan syarat Islam, kalau mereka guna rahmah itu untuk jual kepada golongan mereka sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 8:54 PM