SALAHUDDIN (dua dari kanan) menyempurnakan gimik pelancaran Fisioterapi Rahmah di Pusat Fisioterapi BeVital, Selayang, hari ini. FOTO Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
SALAHUDDIN (dua dari kanan) menyempurnakan gimik pelancaran Fisioterapi Rahmah di Pusat Fisioterapi BeVital, Selayang, hari ini. FOTO Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Gombak: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini melancarkan Fisioterapi Rahmah BeVital serendah RM20 bagi golongan B40 manakala RM5 bagi golongan asnaf.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, seiring pelaksanaan inisiatif Payung Rahmah, Pusat Fisioterapi BeVital tampil menawarkan servis kesihatan bagi mereka yang memerlukan.

"Setiap masyarakat yang memerlukan rawatan fisioterapi akan mendapat satu destinasi baru yang menyediakan perkhidmatan Rahmah.

"Sudah pasti ini satu berita gembira kepada rakyat yang memerlukan, jadi jangan anggap bila sebut Rahmah servisnya 'cincai'. Mereka memerlukan ijazah atau diploma dan perkhidmatan diberikan oleh doktor serta petugas terlatih," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan gimik pelancaran Fisioterapi Rahmah di Pusat Fisioterapi BeVital, Selayang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam.

Sementara itu, Pengasas BeVital, Dr Munawwar Helmi Salim berkata, pusat fisioterapi itu menjalankan perniagaan berasaskan perusahaan sosial yang mana setiap keuntungan digunakan untuk memberi subsidi kepada golongan rentan dalam kalangan B40 dan asnaf.

Katanya, dengan cara itu, setiap dua pelanggan yang membayar harga penuh RM159 dapat membantu seorang pesakit dari keluarga susah.

"Sesiapa yang berminat boleh membuat temujanji di talian 0122996899. Bagi penerima bantuan kewangan B40 atau eKasih tidak perlu membawa sebarang dokumen kerana semakan boleh dibuat secara dalam talian.

"Untuk orang awam yang ingin mendapatkan rawatan boleh juga hubungi kami di talian sama. Nak taja pesakit atau beri sumbangan membantu orang ramai boleh dapatkan maklumat lanjut di media sosial BeVital," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2023 @ 3:00 PM