Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengumumkan 30 barangan di bawah pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Aidilfitri, 13 April ini.

Pengumuman itu termasuk bagi menangani harga bahan utama dalam pembuatan dan penyediaan kuih raya.

Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata meskipun belum diumumkan tetapi pemain industri yang terbabit boleh mendapatkan bahan itu di pasar raya terpilih yang mengadakan Jualan Rahmah.

Pada masa sama katanya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) turut menjamin bekalan telur mencukupi.

"Ini kerana jualan memang Rahmah seperti majerin contohnya. Kita (KPDN) juga pantau hari ke hari (telur). Bukan dengar begitu sahaja.

"Sebaliknya pemantauan berterusan dilakukan. Jadi, setakat ini saya boleh mengatakan bahan-bahan membuat kuih raya masih terkawal (harganya) dan jangan bimbang mengenai itu," katanya pada sidang media selepas program Bazar Ramadan Rahmah di Bandar Puncak Alam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Izham Hashim.

 SALAHUDDIN ketika sesi walkabout Bazar Ramadan Rahmah (BBR). FOTO Asyraf Hamzah
SALAHUDDIN ketika sesi walkabout Bazar Ramadan Rahmah (BBR). FOTO Asyraf Hamzah

Beliau mengulas mengenai kebimbangan pembuat kuih raya terhadap harga bahan-bahan tersebut menjelang sambutan Aidilfitri tahun ini.

Dalam pada itu, Salahuddin menasihatkan para peniaga supaya terus mematuhi peraturan ketika berniaga di bazar Ramadan, termasuk meletakkan tanda harga dan menjaga kualiti barangan.

Beliau berkata, jika ada aduan berhubung kualiti, KPDN akan terima namun tindakan penguatkuasaan dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2023 @ 9:34 PM