SALAHUDDIN bersama Ameer Ali ketika melawat pasar raya Mydin ketika merasmikan program Pelancaran Menu Rahmah. FOTO Amirudin Sahib
SALAHUDDIN bersama Ameer Ali ketika melawat pasar raya Mydin ketika merasmikan program Pelancaran Menu Rahmah. FOTO Amirudin Sahib
Amir Abd Hamid dan Ku Muhammad Kamal Haadi Ku Kamaruzaman dan Shurendar Kannathasan


Subang Jaya: Hampir 15,000 premis menjual makanan setakat ini menyertai inisiatif Menu Rahmah yang bakal menawarkan makanan siap masak pada harga harga RM5 dan ke bawah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, inisiatif itu dilancarkan kementeriannya hari ini, bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata, kaedah pelaksanaan Menu Rahmah memerlukan pelanggan yang memasuki kedai makan atau restoran memberitahu kepada pengusaha mereka mahukan Menu Rahmah ketika buat pesanan.

"Pelanggan boleh sebut inginkan Menu Rahmah. KPDN dengan kerjasama semua premis yang sertai inisiatif ini akan letakkan pelekat yang mempunyai simbol Menu Rahmah.

"Ini juga kita akan uar-uarkan dengan lebih meluas. Saya minta rakan media sosial dan pempengaruh menyebar luas lagi inisiatif Menu Rahmah supaya rakyat di mana sahaja di seluruh negara dapat manfaatnya," katanya ketika menghadiri program Pelancaran Menu Rahmah di Mydin Subang Jaya Hypermarket, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan KPDN Fuziah Salleh dan Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin.

Selain Mydin, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS) dan Persatuan Pengusaha Tomyam Malaysia turut menyertai inisiatif Menu Rahmah.

Mengikut perancangan, Menu Rahmah yang asal merangkumi hidangan nasi, ayam atau ikan dan sayur, namun ada pengusaha makanan lebih kreatif menghasilkan menu lain dengan harga RM5 ke bawah seperti nasi paprik, rojak, roti John, shawarma dan sebagainya.

Salahuddin berkata, semua inisiatif itu akan diselesaikan paling lewat akhir Mac ini, sebelum pelancaran Bakul Rahmah bagi golongan miskin tegar.

"Kemudian menyusul Pakej Harga Barang Rahmah, ada 12 barang asas yang boleh dibeli di bawah harga ditetapkan.

"Kemudian tunggu pula nanti ada Kafe Rahmah di universiti tempatan di Kuala Lumpur yang bakal menyediakan makan tengah hari percuma, selain sarapan pagi serta makan malam dengan diskaun hingga 50 peratus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2023 @ 3:38 PM