DR Aminuddin (tengah) memeriksa warga asing yang ditahan dalam Operasi Sesak Warga Asing di Presint 15, Putrajaya.
DR Aminuddin (tengah) memeriksa warga asing yang ditahan dalam Operasi Sesak Warga Asing di Presint 15, Putrajaya.
Samadi Ahmad

Putrajaya: Perbadanan Putrajaya (PPj) akan menguatkuasakan Sistem Demerit Kesalahan kepada semua pengendali premis perniagaan di kawasan pentadbirannya bermula suku pertama tahun depan.

Presiden PPj, Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, PPj adalah pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama memperkenalkan sistem itu dan walaupun agak sukar dilaksanakan, PPj bersedia berkongsi maklumat dengan pihak luar selepas ia berjaya dilaksanakan di Pusat Pentadbiraan Kerajaan Persekutuan ini.

Menurutnya, sistem itu memberi kemudahan kepada peniaga dan mereka boleh membuat permohonan dan pembaharuan lesen perniagaan secara dalam talian (online) termasuk mengemukakan jenis perniagaan, jumlah pekerja dan pekerja warga asing.

“Proses permohonan dalam talian ini mengambil masa kira-kira 45 minit bagi pengeluaran lesen dan pada masa sama penguat kuasa PPj akan membuat pemeriksaan ke atas premis perniagaan itu bagi memastikan permohonan dikemukakan tidak palsu dan mematuhi undang-undang perniagaan PPj,” katanya pada sidang media selepas Operasi Sesak Warga Asing di Presint 15, di sini, semalam.

Turut hadir, Naib Presiden Jabatan Perkhidmatan Bandar PPj, Datuk Azizi Ahmad Termizi dan Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya, Mohd Syafik Mohamed.

Dalam operasi itu, 37 warga asing diperiksa membabitkan kawasan Presint 9 dan Presint 15 iaitu warga Pakistan (11), Bangladesh (19),Myanmar (4) dan Indonesia (3) yang terdiri daripada pekerja restoran dan pencuci bangunan.

Beliau berkata, 10 warga asing ditahan kerana kesalahan tiada permit kerja dan dibawa ke Pejabat Jabatan Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.

Operasi yang bermula jam 7 pagi dan berakhir tiga jam kemudian itu membabitkan 20 penguat kuasa PPj dan 10 pegawai JIM.

Aminuddin berkata, operasi itu yang ketujuh diadakan sepanjang tahun ini bagi memastikan warga asing yang bekerja di Pusat Pentadbiraan Kerajaan Persekutuan ini mematuhi undang-undang serta memberi keselesaan kepada orang ramai.

Menurutnya, kajian pelaksanaan sistem baru sudah di peringkat akhir dan peniaga yang mendapat markah rendah atau berulang kali melakukan kesalahan akan menghadapi kesukaran untuk memperbaharui lesen mereka selain berdepan tindakan ditamatkan operasi perniagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 11:53 AM