NIK Shukri (tengah) mengadakan sidang media Festival Ramadan Putrajaya 2022 (FRP 2022) di Bangunan PPj hari ini. FOTO ihsan PPj
NIK Shukri (tengah) mengadakan sidang media Festival Ramadan Putrajaya 2022 (FRP 2022) di Bangunan PPj hari ini. FOTO ihsan PPj
Samadi Ahmad


Putrajaya: Perbadanan Putrajaya (PPj) meneruskan penganjuran Festival Ramadan Putrajaya (FRP) 2022 kali ke sembilan selaras dengan peralihan negara ke Fasa Peralihan Endemik bermula 1 April ini.

Naib Presiden (Perkhidmatan Bandar) PPj, Nik Shukri Nik Soh berkata, FRP 2022 bertujuan menjadikan Putrajaya sebagai lokasi alternatif bagi mendapatkan barangan keperluan Ramadan dan Aidilfitri serta mengimarahkan sambutan Ramadan di pusat pentadbiran kerajaan.

Menurutnya, PPj menyasarkan 500,000 pengunjung hadir ke festival kali ini bertujuan menyokong pemulihan ekonomi di pusat kerajaan di sini dapat berkembang lebih maju.

Katanya, FRP 2022 bakal bermula pada 31 Mac sehingga 2 Mei 2022 iaitu tiga hari lebih awal sebelum bermula Ramadan.

"Festival ini akan berlangsung di kawasan Dataran Putrajaya Presint 3, Kompleks Perbadanan Putrajaya dan kawasan bersebelahan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA)," katanya pada sidang media FRP 2022 di Kompleks Perbadanan Putrajaya semalam.

FRP2022 dibahagikan kepada empat komponen utama iaitu Bazar Ramadan, Anjung Syawal, Kiblat Walk dan Laman Iftar.

Bagi komponen Bazar Ramadan terdapat 160 gerai yang menjual juadah berbuka puasa bermula dari 3 petang hingga 8 malam bertempat di lot berhampiran MTMZA.

Anjung Syawal pula menawarkan lebih 200 peniga yang menjual barangan persiapan raya diuruskan oleh ANS Diversified Sdn Bhd yang disertai oleh beberapa selebriti dan instafamous.

Nik Shukri berkata, PPj masih mengekalkan kaedah kawalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sediada seperti penganjuran tahun lalu dengan menempatkan anggota Angkatan Relawan Malaysia (Rela),

Penguatkuasa PPj di pintu masuk.

Menurutnya,had maksimum pengunjung di bazar Ramadan adalah 1,000 hingga 1,500 orang pada satu-satu masa melalui pas masuk yang disediakan dengan peruntukan masa pembelian antara 15 hingga 30 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2022 @ 5:11 PM