GERAI penjaja di Bandar Baru Sungai Buloh yang beroperasi semula selepas diberi lesen sementara oleh MBSA. FOTO Muhaamad Hafis Nawawi.
GERAI penjaja di Bandar Baru Sungai Buloh yang beroperasi semula selepas diberi lesen sementara oleh MBSA. FOTO Muhaamad Hafis Nawawi.
Muhaamad Hafis Nawawi


PENJAJA di Bandar Baru Sungai Buloh menarik nafas lega selepas diberi lesen sementara oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk menjalankan perniagaan.

Mereka yang bergantung kepada hasil jualan sebelum ini tidak dapat meneruskan perniagaan selepas pendedahan pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid, 42, atau dikenali Asri Janggut yang menggemparkan negara.

Asri Janggut pada 8 Ogos lalu memuat naik tiga video siaran langsung mendedahkan kewujudan premis perjudian dan penjualan rokok seludup di sekitar lokasi berkenaan yang beroperasi tanpa sebarang tindakan.

Peniaga sate, Norzehaney Zebri, 37, berkata, kejadian itu ada hikmahnya apabila mereka kini diberi lesen sementara untuk berniaga.

Menurutnya, mereka sudah lama berniaga di lokasi berkenaan dan sering disaman selain barangan disita MBSA kerana tiada lesen perniagaan.

"Cuma selepas pendedahan oleh Mohd Asri, kami yang menjaja ini turut terkena tempias apabila menerima notis 24 jam untuk mengosongkan tempat berniaga dan kami akur dengan arahan itu.

"Sebenarnya, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi, MBSA sudah mempunyai perancangan untuk membangunkan kawasan penjaja di sini agar lebih teratur dan diberi gerai atau kiosk namun tertangguh disebabkan PKP," katanya ditemui hari ini.

Norzehaney berkata, ketika ini, penjaja dibenarkan berniaga di lokasi berkenaan sebelum berpindah sementara ke tempat lain.

Ini kerana, di lokasi berkenaan, akan didirikan gerai dan kiosk secepat mungkin.

"Selepas gerai dan kiosk siap, kami akan berpindah semula ke sini kerana kawasan ini sudah lama menjadi tempat penjaja berniaga," katanya.

Peniaga nasi lemak, Salmah Abd Karim, 60, turut bersyukur dapat berniaga kembali selepas pendapatannya terjejas.

Dia yang juga penduduk asal di situ, sudah berpuluh tahun berniaga nasi lemak dan gembira menerima lesen sementara MBSA.

"Alhamdulillah, saya dapat berniaga semula selepas insiden terbabit, malah akan diberi kiosk apabila ia siap dibina," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2020 @ 3:30 PM