Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Tiada berlaku kenaikan harga daging import sama ada lembu atau kerbau seperti yang didakwa, sebaliknya peningkatan harga hanya membabitkan daging lembu tempatan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, harga daging lembu import masih kekal pada harga antara RM18 hingga RM22 sekilogram mengikut gred daging.

Menurutnya, peningkatan harga itu berlaku pada daging lembu tempatan yang tidak dikawal oleh kerajaan, berikutan terdapat permintaan tinggi daripada pengguna.

"Pengguna khususnya di utara, tidak membeli daging kotak sebaliknya memilih daging lembu tempatan bagaimanapun sekiranya ada peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga, orang ramai boleh buat laporan kepada KPDN.

"Rabu ini, KPDN akan umumkan 30 senarai barang keperluan rakyat di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bakul Rahmah sumbangan 99 Speed Mart Sdn Bhd di sini, hari ini.

Mengulas mengenai mengenai Bakul Rahmah, beliau berkata, kementeriannya menyasarkan agihan untuk 130,000 isi rumah miskin tegar pada Julai ini.

"Buat masa ini, sebanyak 80,000 Bakul Rahmah berjaya dikumpul dengan rakan strategik dan berharap dapat diagihkan sebelum Aidilfitri ini," katanya.

SALAHUDDIN Ayub bersama Pengarah Operasi cawangan 99 Speed Mart, Yong Eng Kwang (kanan) melihat isi kandungan Bakul Rahmah. FOTO Asyraf Hamzah
SALAHUDDIN Ayub bersama Pengarah Operasi cawangan 99 Speed Mart, Yong Eng Kwang (kanan) melihat isi kandungan Bakul Rahmah. FOTO Asyraf Hamzah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2023 @ 6:14 PM