Nurul Fatihah Sulaini

Besut: Harga daging lembu tempatan (kecuali batang pinang) ditetapkan RM41 sekilogram di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).

Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, penetapan harga itu akan dapat mengawal sebarang kenaikan mendadak bekalan daging pada Aidilfitri ini.

Katanya, bagi daging kerbau import pula ditetapkan kepada RM20 bagi setiap satu kilogram.

"Namun terpulang kepada penjual untuk menjual pada harga lebih rendah sama ada kurang RM2 atau RM3 daripada harga yang ditetapkan pasaran," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Kasih Ramadan dan Sumbangan Agihan Wakalah Zakat Korporat SSM dengan kerjasama Pertubuhan Kami Peduli Besut dan Pasar Raya PXR, Pekan Jabi di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman dan Pengarah KPDN Terengganu Saharuddin Mohd Kia.

SALAHUDDIN (kanan) beramah mesra bersama pengunjung semasa hadir pada pelancaran Program Jualan RAHMAH  dan pemantauan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa Tahun 2023 di Pasar Raya PXR, Jabi. FOTO Ghazali Kori

Salahuddin berkata, pengguna boleh mengemukakan aduan sekiranya mendapati terdapat harga barang di bawah SHMMP dijual lebih mahal daripada yang ditetapkan.

"Aduan berkenaan perlu lengkap seperti berlaku di mana, nama kedai, bila berlaku dan beberapa soalan lain.

"Namun kita berharap peniaga bekerjasama mematuhi arahan ditetapkan dan mengelakkan dikenakan tindakan saman," katanya.

Mengulas mengenai kuota minyak bersubsidi, Salahuddin berkata, Kabinet masih mengekalkan kuota bagi barang kawalan itu sebanyak 60,000 tan metrik setiap bulan.

HARGA daging lembu tempatan (kecuali batang pinang) ditetapkan RM41 sekilogram di bawah SHMMP. FOTO Arkib NSTP
HARGA daging lembu tempatan (kecuali batang pinang) ditetapkan RM41 sekilogram di bawah SHMMP. FOTO Arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2023 @ 4:16 PM