SALAHUDDIN meninjau barangan keperluan yang terbabit dalam jualan Rahmah AEON. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
SALAHUDDIN meninjau barangan keperluan yang terbabit dalam jualan Rahmah AEON. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
BERNAMA

Putrajaya: Kira-kira 30 pasar raya besar di negara ini telah menyertai inisiatif Payung Rahmah sejak dilancarkan pada Januari lalu, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Menerusi inisiatif Payung Rahmah, golongan B40 dapat berjimat sehingga RM24 apabila membeli 12 jenis barangan asas di pasar raya yang menyertai inisiatif itu.

"Penyertaan menggalakkan ini akan membantu kerajaan dalam menangani masalah beban kos sara hidup golongan B40 dan miskin tegar," katanya kepada media selepas melancarkan program Rahmah Raya AEON Co (M) Bhd di sini, hari ini.

Inisiatif Payung Rahmah yang dilaksanakan bagi mendepani kos sara hidup turut merangkumi Menu Rahmah, Program Jualan Rahmah dan Pakej Rahmah.

Mengenai inisiatif Menu Rahmah yang diperkenalkan sejak bulan lalu, Salahuddin melahirkan penghargaan kepada pengusaha gerai dan restoran yang mengekalkan kualiti hidangan makanan walaupun dijual pada harga RM5 dan ke bawah.

"Saya tidak pernah terima laporan berkaitan isu kualiti makanan Menu Rahmah. Alhamdulillah, saya ucap terima kasih kepada semua pengusaha (gerai dan restoran) kerana mereka tidak kompromi soal kualiti," katanya.

SALAHUDDIN menyerahkan Bakul Rahmah kepada penerima pada pelancaran Program Rahmah Raya AEON. Turut kelihatan Pengerusi AEON Co (M) Bhd, Datuk Iskandar Sarudin (kiri). FOTO Mohd Fadli Hamzah.
SALAHUDDIN menyerahkan Bakul Rahmah kepada penerima pada pelancaran Program Rahmah Raya AEON. Turut kelihatan Pengerusi AEON Co (M) Bhd, Datuk Iskandar Sarudin (kiri). FOTO Mohd Fadli Hamzah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2023 @ 6:25 PM