Orang awam membeli barang keperluan di 99 Speed Mart sempena Kempen Jualan Rahmah Hari Raya 99 Speed Mart. - FOTO NSTP
Orang awam membeli barang keperluan di 99 Speed Mart sempena Kempen Jualan Rahmah Hari Raya 99 Speed Mart. - FOTO NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin dan Wan Nur Izzati Wan Amir

Kuala Lumpur: 99 Speed Mart menyertai inisiatif di bawah Payung Rahmah dengan mengadakan Jualan Rahmah Hari Raya yang berlangsung selama sebulan bermula hari ini sehingga 22 April nanti.

Pengarah Operasi Cawangan 99 Speedmart Sdn Bhd, Yong Eng Kwan berkata, sebanyak 150 barangan ditawarkan dalam Jualan Rahmah Hari Raya dengan potongan harga bermula 5.0 hingga 30 peratus.

"Sebanyak 2,300 cawangan terbabit dengan Jualan Rahmah ini di mana pelanggan boleh mendapatkan barangan dengan lebih mudah di semua cawangan berhampiran.

"Untuk makluman, kempen Jualan Rahmah ini tidak akan berhenti setakat ini kerana akan ada lagi kesinambungan jualan ini pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Jualan Rahmah Hari Raya 99 Speed Mart yang dirasmikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub di Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1AM) Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPDN Datuk Azman Muhd Yusof; Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam dan Pengarah KPDN, Kuala Lumpur Ariffin Samsudin.

Pelanggan mendapatkan barangan di 99 Speed Mart. - FOTO NSTP
Pelanggan mendapatkan barangan di 99 Speed Mart. - FOTO NSTP

Eng Kwan berkata, pihaknya akan sentiasa memberikan sokongan kepada usaha yang akan dijalankan oleh kerajaan bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup dihadapi masyarakat terutama golongan B40.

"Kami sedia maklum segala program yang dijalankan kerajaan akan dapat memberikan manfaat kepada semua pihak yang memerlukan.

"Ini terbukti dengan keprihatinan kerajaan yang komited memastikan semua pihak dilindungi dan tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup sekali gus memastikan kestabilan ekonomi dalam mendepani situasi mencabar ketika ini," katanya.

Beliau berkata, inisiatif dilaksanakan kerajaan itu mewujudkan suasana perniagaan kondusif yang memberikan keuntungan kepada pembeli dan peniaga.

"Kita sentiasa menyokong dan menjadi tulang belakang kepada kerajaan dalam memastikan semua inisiatif itu dapat dilaksanakan untuk merancakkan ekonomi sektor peruncitan selain membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat terutamanya golongan B40 dan juga asnaf.

"Diharapkan kerjasama yang terjalin antara pihak KPDN dan 99 Speed Mart akan diteruskan pada masa akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2023 @ 3:23 PM