SALAHUDDIN Ayub memberi ucapan pada Majlis Penyampaian Sumbangan Wakalah Zakat Korporat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di Wisma Perkeso Alor Setar hari ini. FOO Syaharim Abidin
SALAHUDDIN Ayub memberi ucapan pada Majlis Penyampaian Sumbangan Wakalah Zakat Korporat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di Wisma Perkeso Alor Setar hari ini. FOO Syaharim Abidin
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Peniaga yang terbabit dalam inisiatif pelaksanaan Menu Rahmah diperkenal kerajaan sejak Februari lalu, bakal dipertimbang bagi mendapatkan insentif khas tertentu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata pihaknya akan meneliti bagaimana insentif berkenaan dapat diberikan kepada peniaga terbabit dalam tempoh terdekat ini.

Jelasnya, tempoh antara empat hingga enam bulan selepas inisiatif Menu Rahmah diperkenal adalah waktu yang sesuai bagi mengkaji keberkesanan serta kesesuaian program itu pada masa hadapan.

"Kita akan dapatkan fakta tepat mengenai Menu Rahmah membabitkan lokasi dan bentuk menu yang ditawarkan peniaga, ia turut akan membabitkan proses menemuduga peniaga mengenai apa bentuk bantuan yang mereka perlukan untuk meneruskan inisiatif ini.

"Ketika ini dapatan kita menunjukkan harga Menu Rahmah menjadi tarikan utama pelanggan dan ia mampu menjana keuntungan kepada peniaga.

"Jadi ini antara fakta yang kita sedang teliti kerana membabitkan kepentingan peniaga dan rakyat," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Semarak Niaga Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan menyampaikan sumbangan Wakalah Zakat Koporat berjumlah RM100,000 kepada 500 penerima golongan asnaf di Wisma Perkeso Kedah.

Hadir sama Pengarah SSM Kedah, Ismanani Khazali.

Salahuddin berkata, berdasarkan tinjauan dibuat pihaknya, seramai 1,148 peniaga bazar Ramadan memaklumkan berlaku peningkatan hasil jualan mereka, walaupun menggunakan Menu Rahmah.

"Kita dapati 70 peratus peniaga memaklumkan menerima keuntungan, selebihnya ada untung, tetapi tidak pada kadar yang dijangka.

"Sebab itu, kena ada kajian secara komprehensif untuk lihat semua inisiatif Rahmah ini termasuk program Bakul Rahmah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2023 @ 4:01 PM