SALAHUDDIN menunjukkan Jualan Rahmah di  AEON BIG Wangsa Maju. FOTO Fathil Asri.
SALAHUDDIN menunjukkan Jualan Rahmah di AEON BIG Wangsa Maju. FOTO Fathil Asri.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: "Saya yakin tidak akan ada pihak yang sengaja menyalahgunakan Menu Rahmah," kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Beliau berkata, Program Menu Rahmah disertai syarikat dan peniaga yang sudah mempunyai nama besar, jadi mustahil mereka akan mensabotaj atau berkompromi mengenai kualiti.

Katanya, begitu juga dengan peniaga individu lain, sudah tentu mereka ingin menjaga nama baik perniagaan masing-masing.

"Saya tidak percaya ada syarikat yang namanya besar, atau individu yang berniaga hatta di warung kecil di kampung sekali akan berkompromi soal kualiti.

"Contohnya ikan yang busuk atau sayur sudah dicampak tepi jalan dimasak untuk Menu Rahmah, saya tak fikir begitu.

"Apa agama atau bangsa sekalipun, apabila mereka nak buat Menu Rahmah atau jualan Rahmah mereka tidak berkompromi mengenai kualiti dan kuantiti. Saya yakin begitu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis pelancaran Program Rahmah AEON BiG di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan AEON BiG Sheikh Farouk Sheikh Mohamed.

Sementara itu, Salahuddin berkata, hampir semua pasar raya termasuk multinasional dan tempatan sudah pun menyertai inisiatif kerajaan menerusi program di bawah Payung Rahmah merangkumi Jualan Rahmah, Bakul Rahmah, MenuRahmah dan Pakej Rahmah.

Sementara itu, Sheikh Farouk berkata, AEON BiG menawarkan 100 produk terpilih yang dijual pada harga lebih rendah untuk meringankan beban pelanggan.

"Antara barangan terpilih dijual melalui Jualan Rahmah itu termasuk beras, minyak masak, makanan proses, peralatan mandian dan pelbagai keperluan asas lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2023 @ 5:27 PM