SALAHUDDIN bergambar kenangan selepas menyampaikan sumbangan bakul Rahmah kepada pemandu dan penghantar Grab. FOTO Amirudin Sahib.
SALAHUDDIN bergambar kenangan selepas menyampaikan sumbangan bakul Rahmah kepada pemandu dan penghantar Grab. FOTO Amirudin Sahib.
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Dakwaan dua pelancong asing yang dikenakan caj bayaran hingga RM120 di sebuah kedai gunting rambut di sekitar Bukit Bintang, di sini, mencemarkan nama baik Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan dunia.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia mengambil keuntungan melampau yang tidak sepatutnya.

Menurutnya, mana-mana pihak yang dikenal pasti mengambil tindakan melampau seumpama itu akan diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

"Saya sudah meminta pegawai pergi (ke lokasi) serta merta membuat siasatan apabila mendengar isu gunting rambut dikenakan semahal RM120 kepada pelancong asing. Sekiranya benar kita akan pastikan mereka seperti ini diambil tindakan tegas.

"Bukan sekadar mengambil keuntungan melampau tetapi untuk pelancong asing, ia sangat mencemarkan nama baik Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang sepatutnya kita menawarkan perkhidmatan terbaik dan harga juga berpatutan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bakul Rahmah Sumbangan Grab Malaysia kepada pemandu dan penghantar Grab, di sini, hari ini.

Pada majlis itu syarikat berkenaan menyerahkan sumbangan itu kepada 50 penerima dan ia akan diperluaskan kepada pemandu dan penghantar Grab.

Menurutnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dari semasa ke semasa sentiasa memberikan nasihat berterusan supaya peniaga mematuhi dan memastikan semua perkhidmatan yang diberikan berpatutan.

"Perkhidmatan yang kita berikan sama ada kepada rakyat atau pelancong dari luar mestilah berpatutan dan jangan mengenakan caj atau ambil peluang untuk meraih keuntungan secara melampau," katanya.

Pagi tadi, Harian Metro melaporkan Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, pihaknya sudah memulakan siasatan berhubung perkara itu hari ini.

Kejadian itu tular selepas pasangan dipercayai daripada England berkenaan memuat naik satu video berdurasi dua minit 15 saat di TikTok memaparkan pertikaman lidah antara mereka dan seorang tukang gunting warga asing.

Dalam video itu, pasangan terbabit mendakwa bertanya kepada beberapa warga tempatan yang menyatakan harga untuk memotong rambut sepatutnya tidak lebih dari RM50.

Susulan itu, tukang gunting terbabit cuba menjelaskan bahawa kadar harga itu hanya untuk warga tempatan kerana golongan itu tidak dikenakan cukai seperti pelancong asing.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pandangan Pengarah Urusan Pasar Raya Mydin, Ameer Ali Mydin, yang mengingatkan peniaga Menu Rahmah agar menghentikan mentaliti subsidi, Salahuddin berkata, pihaknya akan meneruskan kajian mengenai pemberian insentif berkenaan.

"Mungkin apa yang dikatakan Datuk Ameer Ali Mydin itu dalam kapasiti beliau sebagai pemain industri kerana di pihak kerajaan bagi saya biarlah kita buat satu kajian dulu. Kita perlu ada data dan fakta tepat sebelum membuat keputusan atau cadangan kepada kerajaan," katanya.

Terdahulu media melaporkan, golongan peniaga yang menyediakan Menu Rahmah diingatkan supaya berhenti daripada mengharapkan subsidi tambahan kerajaan dengan menjadikan pembabitan dalam program itu sebagai alasan.

Ameer dilaporkan, berkata ini kerana ini inisiatif Menu Rahmah yang diperkenalkan kerajaan adalah bersifat sukarela dan tiada paksaan kepada mana-mana peniaga makanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2023 @ 2:27 PM