INISIATIF Menu Rahmah yang diperkenal dan dimulakan Salahuddin sangat dekat di hati rakyat terutama golongan kurang berkemampuan dan berpendapatan rendah.
INISIATIF Menu Rahmah yang diperkenal dan dimulakan Salahuddin sangat dekat di hati rakyat terutama golongan kurang berkemampuan dan berpendapatan rendah.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pengenalan Konsep Payung Rahmah perlu terus diperkukuhkan bagi menangani cabaran kos sara hidup rakyat di negara ini tatkala berdepan dengan situasi ekonomi semasa.

Malah, inisiatif cetusan idea bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub itu akan menjadi pembakar semangat kepada kerajaan untuk melakukan yang terbaik demi rakyat.

Bagi menyahut seruan itu, terdapat syarikat besar mahupun kecil yang menyambut baik Program Payung Rahmah berkenaan dengan memperkenalkan menu dan harga Rahmah di premis masing-masing sehingga kini.

Bagi Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holding Berhad (Mydin), Datuk Dr Ameer Ali Mydin, inisiatif yang diperkenal dan dimulakan oleh Allahyarham itu sangat dekat di hati rakyat terutama golongan kurang berkemampuan dan berpendapatan rendah.

"Program Payung Rahmah ini satu inisiatif yang lain daripada lain. Ini kerana, ia sangat dekat di hati rakyat. Implikasi program ini memang disasarkan kepada rakyat apatah lagi mereka yang tergolong dalam B40.

"Mydin satu-satunya pasar raya dipanggil oleh KPDN ketika itu untuk terbabit dalam program ini. Alhamdulillah, bila kita buat, ramai datang. Malah, harga yang kita perkenalkan pun lebih murah daripada pasaran. Sambutan menggalakkan hingga kini.

"Diakui, walaupun tiada keuntungan, bagi saya ini adalah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada Mydin. Ini cara kami nak bagi balik pada pelanggan setia Mydin. Apa saya harapkan, mereka akan terus mendoakan kami," katanya.

Katanya, biarpun siapa pun menteri yang bakal menerajui KPDN diharap akan meneruskan Program Rahmah ini.

"Saya juga berharap lebih ramai kawan-kawan saya dan peniaga lain turut serta dalam inisiatif ini. Jangan selalu ingat keuntungan," katanya.

Pemilik Rangkaian Restoran Ali Maju, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, kesemua rangkaian restoran miliknya masih meneruskan Menu Rahmah kerana percaya ia sangat diperlukan dan membantu ramai orang.

"Saya sahut seruan menteri ketika itu kerana ia satu inisiatif yang unik. Walaupun tidak ada subsidi atau insentif daripada kerajaan, saya jadikan ia sebagai CSR kepada rakyat.

"Semua rangkaian restoran Ali Maju masih ada Menu Rahmah dengan niat keperluan memang tinggi. Saya tak tergamak nak hentikan. Alhamdulillah, daripada awal sampai sekarang masih dapat sambutan.

"Banyak tanya soal untung dan rugi, kalau nak kata untung tak munasabah sebab kita jual murah. Saya jadikan ini sebagai amal jariah dalam berniaga. Dulu RM10 boleh makan sekali, sekarang dengan jumlah sama dapat makan dua kali sehari," katanya.

Katanya, beliau sentiasa menyokong dan menyambut baik jika program berkenaan diteruskan.

"Sebab mana-mana syarikat yang terbabit dalam Program Payung Rahmah ini pun atas dasar sukarela. Macam Menu Rahmah ini pun, tidak ada pengkhususan siapa yang layak. Ia terbuka kepada semua yang nak beli," katanya.

Sementara itu, Pemilik dan Pengurus Warong Pecel Lele di Medan Selera TS Sport Arena, Cyberjaya, Muhammad Sulhasbi berkata, dia masih menawarkan Menu Rahmah kerana sambutan yang baik selain dapat membantu meringankan kos sara hidup golongan memerlukan.

"Alhamdulillah, sambutan terhadap Menu Rahmah ini sangat baik. Tiada penyesalan saya menawarkan Menu Rahmah kerana saya melihat ramai yang suka selain nak membantu meringankan kos perbelanjaan makanan pengguna.

"Set makanan yang kami perkenalkan pelbagai dan banyak pilihan, tidak terhad pada satu menu saja. Malah, kami beri sentuhan dengan menamakannya dengan nama menteri. Menu yang ada sesuai untuk sarapan dan makan tengah hari.

"Terima kasih kepada KPDN yang memperkenalkan Program Payung Rahmah ini dan harapnya ia dapat diteruskan. Ternyata program sebegini sangat diperlukan rakyat sekali gus membantu meringankan kos sara hidup," katanya.

Dalam pada itu, ibu tunggal, Intan Maziah Mohd Noor, 60, turut menyuarakan pendapat sama kerana menganggap inisiatif yang diperkenalkan KPDN membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

"Program Payung Rahmah ini sangat bagus sebab ia dapat bantu orang ramai yang memerlukan dengan membeli barang pada harga murah. Memang sangat perlu diwujudkan program sebegini kerana kita tahu ramai yang hidup susah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2023 @ 8:00 AM