JAWAHAR menunjukkan Menu Rahmah yang masih diteruskan ketika ditemui di Restoran Ali Maju, Setapak. - Gambar NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
JAWAHAR menunjukkan Menu Rahmah yang masih diteruskan ketika ditemui di Restoran Ali Maju, Setapak. - Gambar NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Inisiatif Payung Rahmah yang diperkenalkan Kerajaan Perpaduan dalam Belanjawan 2023 dilihat memberi impak positif dalam kalangan rakyat bagi mengurangkan kos sara hidup.

Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim yang membentangkannya melalui Belanjawan 2023 berkata, inisiatif tersebut merangkumi Jualan Rahmah dan Menu Rahmah, di mana pengusaha tempatan dapat menyertai dan menyokong aspirasi kerajaan.

Inisiatif Payung Rahmah dijalankan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) Datuk Jawahar Ali berkata, sebelum inisiatif terbabit diperkenalkan, pihak kerajaan ada berbincang dan mengambil kira pandangan pengusaha tempatan.

Katanya, Presma dan persatuan pengusaha lain bersetuju menyokong usaha kerajaan itu dalam memperkenalkan Menu Rahmah yang menawarkan makanan pada harga RM5 ke bawah.

"Inisiatif ini diperkenalkan pada waktu yang betul-betul diperlukan oleh rakyat. Bagi Restoran Ali Maju sendiri, kami sehingga kini masih menawarkan Menu Rahmah pada harga RM5. 

"Semua cawangan (lebih 20 di Lembah Klang) memang menawarkan Menu Rahmah dengan pilihan nasi putih bersama ayam atau ikan serta sayur dan percuma air teh 'o' ais atau air kosong. 

"Malah ahli Presma yang lain juga ada yang mengambil peluang menjual Menu Rahmah, sekali gus menjadikannya sebagai amal jariah kepada mereka yang memerlukan," katanya.

Menurutnya, Kerajaan Perpaduan sudah berusaha membuat yang terbaik untuk membantu mereka yang terkesan bukan saja B40 malah M40 dan Presma memang memberi komitmen sepenuhnya untuk memenuhi hasrat kerajaan. 

Beliau berkata, Presma akan menyokong apa saja dasar kerajaan yang baik dan paling penting tiada ketirisan dalam bantuan atau subsidi.

Ditanya sama ada pengusaha yang menawarkan Menu Rahmah masih memperoleh keuntungan di kala kos harga meningkat, Jawahar Ali berkata untuk mendapatkan keuntungan memang agak sukar.

"Jika pengusaha berniat menyediakan Menu Rahmah untuk mendapat keuntungan, memang tiada untung, tetapi berbalik kepada niat kita untuk membantu mereka yang memerlukan dan saya percaya rezeki akan datang dalam pelbagai bentuk.

"Kena fikirkan setiap sen yang kita dapat akan ada hak orang lain dan walaupun Menu Rahmah, kami tidak membezakan dengan menu sedia ada di restoran kami dan orang lain tidak akan perasan itu Menu Rahmah kerana kita tak mahu tonjolkan perbezaan.

"Selain itu, apabila kami perkenalkan Menu Rahmah, jualan di restoran bertambah baik malah pelanggan semakin bertambah sebab mereka bukan hanya beli Menu Rahmah, tetapi juga makanan lain," katanya.

Beliau berkata, setiap hari pihaknya menerima permintaan dan tidak pernah mengehadkan jumlah pembelian Menu Rahmah.

"Kami juga berharap kerajaan dapat terus menyokong pengusaha yang menawarkan Menu Rahmah termasuk memberi harga diskaun untuk membeli barang asas Menu Rahmah.

"Kami memang sudah dimaklumkan bahawa kerajaan akan membantu sesiapa yang menyediakan Menu Rahmah dan diharap akan ada berita gembira selepas ini," katanya. 

Semua cawangan Econsave masih tawarkan Jualan Rahmah

Rakan strategik inisiatif Jualan Rahmah, Econsave Cash & Carry Sdn Bhd (Econsave) terus menjadi pilihan pengguna kerana sentiasa menawarkan harga rendah yang selari dengan moto syarikat, 'bandingkan harga kami'. 

Sebagai pasar raya pertama yang mengambil bahagian dalam Jualan Rahmah dan menyokong inisiatif kerajaan yang dibentangkan menerusi Belanjawan 2023, Econsave menerima sambutan hebat melalui semua rangkaian pasar rayanya yang menawarkan barangan Rahmah.

Pengurus Besar Econsave Mas Imran Adam berkata, pihaknya masih menawarkan Jualan Rahmah di 93 cawangan Econsave seluruh negara.

Katanya barang yang dijual menerusi inisiatif Jualan Rahmah mendapat sambutan hebat pengguna sehingga mencatat kenaikan jualan sebanyak 30 peratus sejak dilancarkan.

MAS Imran menunjukkan antara barangan yang tersenarai dalam 1,000 barangan menerusi inisiatif Jualan Rahmah di Econsave Taman Teratai, Johor. - Gambar NSTP/NUR AISYAH MAZALAN

"Sebanyak 1,000 jenis barang diturunkan harga dengan penjimatan ditawarkan sehingga 20 peratus dan selepas melihat kejayaan jualan Rahmah ini di Econsave, baru kita lihat pasaraya lain turut menyertainya.

"Kami menurunkan harga barang bagi setiap segmen produk antaranya barangan makanan, kelengkapan diri, kelengkapan bayi (susu, lampin pakai buang), barangan rumah dan banyak lagi.

"Sehingga kini Jualan Rahmah masih dijalankan di semua cawangan Econsave dan sambutan diterima sangat menggalakkan, malah setiap hujung minggu cawangan kami menyertai program Jualan Rahmah Parlimen dengan menawarkan harga yang begitu rendah.

"Selain itu, di Econsave jualan daging Rahmah turut dijalankan pada Hari Raya Puasa i dan juga mendapat sambutan di mana harga yang ditawarkan hanya RM14.90 (harga kawalan RM20) dan sebanyak 500 tan dapat dijual dalam tempoh berkenaan," katanya. 

Menurutnya, Econsave juga melaksanakan tanggungjawab untuk membantu peniaga makanan dan peniaga kecil bagi mengekalkan Menu Rahmah.

"Kami mengambil inisiatif untuk membolehkan peniaga membeli barang keperluan pada harga borong bermaksud mereka dapat membelinya dengan harga yang murah bagi membolehkan peniaga kekal menawarkan Menu Rahmah di kedai mereka.

"Setiap dua minggu pihak kami memang ada membuat promosi untuk barang keperluan terutama apabila masuk musim perayaan.

"Promosi besar-besaran akan dibuat untuk memastikan barang dapat dijual pada harga rendah dan salah satu inisiatif kami ialah memperkenalkan house brand dan ia sangat mendapat sambutan baik kerana harga murah dan mempunyai kualiti setanding barangan popular," katanya.

Konsep Payung Rahmah diperkenalkan sebagai induk kepada usaha membantu golongan susah dan rentan dan salah satunya ialah inisiatif Jualan Rahmah.

Jualan Rahmah menawarkan barang asas dengan harga sehingga 30 peratus lebih murah berbanding pasaran dan melalui Belanjawan 2023 inisiatif ini diperluaskan di 222 kawasan Parlimen.

Kerajaan juga akan meningkatkan peruntukan sebanyak RM25 juta kepada RM225 juta bagi memperluas program pengedaran barang keperluan asas ke 25 kawasan baharu antaranya di Paloh dan Passin, Sarawak; Pasir Raja, Terengganu dan Kuala Krai, Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2023 @ 1:41 PM