Omar Ahmad


Johor Bahru: Menteri Perdangangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mewujudkan pasukan khas bagi memperhalusi rancangan penganjuran Bazar Ramadan Rahmah, di setiap negeri.

Menterinya Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pertemuan akan diadakan dengan empat kementerian berkaitan iaitu Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) serta Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Katanya perbincangan membabitkan Ketua Setiausaha Kementerian berkenaan itu akan berlangsung minggu hadapan.

"Saya dapat makluman Datuk Bandaraya Ipoh mahu mengadakan Bazar Ramadan Rahmah, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghubungi saya minggu lalu dan arahkan saya supaya melihat Program Payung Rahmah ini boleh diperluaskan di bandaraya Kuala Lumpur.

"Oleh itu semalam saya membawa secara rasmi dalam masyuarat kabinet bahawa untuk menyahut kehendak PM, maka KPDN akan menjadi seketariat kepada satu taskforce yang akan dianggotai oleh lima kementerian termasuk KPDN.

"Kita akan mengadakan perbincangan diperingkat Ketua Setiausaha untuk mereka membincangkan satu kertas cadangan dan selepas itu kami lima Menteri akan bermesyuarat.

"Saya yakin antara program yang boleh kita buat 'quick win solution' ialah Bazar Ramadan Rahmah, yang kita akan pastikan beberapa lokasi untuk rakyat membeli belah sebelum waktu buka puasa dengan harga yang berpatutan," katanya pada sidang media selepas Pelancaran Menu Rahmah Restoran Makanan Segera Marrybrown berharga RM5 di lebih 200 cawangan di Marrybrown di Paradigm Mall di sini, hari ini.

Salahuddin (dua, kiri) melancarkan Menu Rahmah RM5 Restoran Makanan Segera, Marrybrown di Paradigm Mall. FOTO OMAR AHMAD
Salahuddin (dua, kiri) melancarkan Menu Rahmah RM5 Restoran Makanan Segera, Marrybrown di Paradigm Mall. FOTO OMAR AHMAD

Menurut Salahuddin, pada minggu depan pihaknya juga akan memuktamadkan dengan beberapa pemain industri tekstil bagi jualan Rahmah Raya.

"Disamping itu, dengan industri tekstil minggu depan akan muktamadkan dengan beberapa pemain industri, apakah bentuk jualan Rahmah Raya yang akan mereka kemukakan.

"Selepas ini semua selesai, saya akan adakan sesi libat urus dengan pemain industri yang besar bagi cadangan Pasaraya Besar Rahmah.

"Saya menghargai pemain industi besar yang bersama-sama menjayakan Menu Rahmah, saya berfikir jika mungkin ada pemain industri yang berstatus 'billionair' kenapa tidak mereka memikirkan untuk membuka sebagai contoh pilot projek di KL pasaraya besar yang menjual barangan B40,"katanya.

Sementara itu, bagi Menu Rahmah Salahuddin memaklumkan setakat ini, sebanyak 751 premis makanan telah menyertai inisiatif Menu Rahmah seluruh negara, sejak ia dilancarkan 31 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Februari 2023 @ 5:47 PM