Omar Ahmad


Johor Bahru: Tiada paksaan buat peniaga menjual baju raya pada harga Rahmah, namun perlu memastikan kualiti pakaian itu benar-benar baik.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, peniaga tidak boleh 'berkira' dalam soal kualiti selepas bersedia terbabit penjualan Baju Raya Rahmah.

"Kita ada dapat aduan di media sosial yang mengatakan ada baju yang dijual bukan pada harga Rahmah... ada juga yang diperhatikan mereka ini tidak berkompromi dengan kualiti disediakan.

"Kita harap mereka pantau kualiti, KPDN tidak tergamak mempromosi jualan Baju Raya Rahmah kalau kualiti pakaian itu tak menepati standard ditetapkan. Takkanlah kita hendak santuni rakyat yang memerlukan dengan pakaian tidak berkualiti.

"Kualiti itu telah kita pastikan semasa adakan libat urus, kualiti jangan kompromi dan mesti hormati rakyat yang membeli jika mahu jual secara Rahmah, kita tidak ada paksaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Jualan Rahmah Pasaraya Hwa Tai di Pandan di sini, hari ini.

Salahuddin turut memuji usaha syarikat tekstil ternama termasuk butik pakaian yang menyokong inisiatif kerajaan dengan memperkenalkan Baju Raya Rahmah pada harga yang rendah.

Katanya, terdapat baju yang dijual serendah RM8, malah ada yang menyediakan pakej dua baju dewasa dan kanak-kanak pada harga RM149.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2023 @ 10:12 PM