Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Nerus: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu mengingatkan peniaga di negeri ini agar tidak menyalahgunakan nama program Menu Rahmah.

Pengarahnya Saharuddin Mohd Kia berkata, pihaknya tidak mahu peniaga yang mengambil kesempatan menggunakan nama Menu Rahmah, namun tidak menjual menu dengan harga yang sepatutnya atau menjual hidangan lain.

Menurutnya, Menu Rahmah adalah hidangan makan tengah hari atau makan malam yang seimbang seperti nasi, satu pilihan protein sama ada ayam atau ikan dan sayuran dengan tawaran harga bernilai RM5 dan ke bawah.

"Peniaga mesti menjual makanan yang seimbang dengan harga di bawah RM5 dan setakat ini, kita tidak terima aduan berkaitan penyalahgunaan nama Menu Rahmah ini.

"Jika ada peniaga dikesan menggunakan nama Menu Rahmah, tetapi menjual dengan harga lebih tinggi atau tidak mengikut konsep, ia satu tindakan tidak beretika.

"Mereka sepatutnya menyumbang, tetapi kalau itu cara dia buat, dia mengambil kesempatan dengan populariti Menu Rahmah ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pelaksanaan Menu Rahmah di Terengganu di Kedai Tok Mi Selera Kampung, di sini, hari ini.

Saharuddin berkata, setakat ini, sebanyak 29 restoran dan gerai makanan di Terengganu menawarkan Menu Rahmah.

Menurutnya, ia membabitkan 17 premis di Kuala Terengganu, Kuala Nerus (tiga), Marang (dua), Kemaman (dua), Besut (dua), Dungun (dua) dan Hulu Terengganu (satu).

"Kita akan luaskan lagi pelaksanaan Menu Rahmah ini membabitkan pengusaha restoran, kedai makan, kiosk dan sebagainya yang tidak bernaung di bawah persatuan.

"Mereka berminat untuk turut sama terbabit dan menyumbang kepada masyarakat dalam keadaan peningkatan kos sara hidup dan harga barang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2023 @ 3:22 PM