Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Polis bersama Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Pulau Pinang berjaya membongkar kegiatan sindiket pengedaran dadah antarabangsa bernilai RM6 juta.

Susulan itu enam lelaki terdiri daripada lima warga asing dan seorang warga tempatan ditahan dalam operasi dijalankan antara Rabu sehingga semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, penahanan suspek pertama dilakukan pada jam 7 malam Rabu lalu dan menemukan lima bongkah plastik berwarna hitam mengandungi 178 bungkusan berisi syabu dianggarkan seberat 183 kilogram (kg) dalam kereta yang dinaikinya.

Ia seterusnya membawa kepada penahanan lima lagi suspek di sekitar Pulau Pinang dan yang terakhir di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

"Suspek keenam yang ditahan pada jam 4 pagi semalam berusia 40-an dan polis menemukan wang tunai bernilai RM500,000 dalam kenderaan dinaikinya.

"Kesemua suspek masing-masing bekerja sebagai buruh binaan, penganggur dan nelayan," katanya pada sidang media di PPM Batu Uban di sini, hari ini.

Mohd Shuhaily berkata, risikan mendapati sindiket bergiat aktif pada pertengahan 2022 dan keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan seramai sembilan juta penagih sekiranya ia dipasarkan.

Katanya, ujian saringan air kencing ke atas enam tangkapan didapati negatif daripada sebarang pengambilan dadah dan dua daripada mereka mempunyai rekod pelbagai kesalahan membabitkan dadah dan jenayah.

"Kesemua suspek berusia 21 hingga 45 tahun itu direman selama tujuh hari sehingga 5 April depan bagi membantu siasatan.

MOHD Zaidi (dua dari kiri) bersalam dengan tetamu yang hadir pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di Perumahan Polis IPK Sabah, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan.
MOHD Zaidi (dua dari kiri) bersalam dengan tetamu yang hadir pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di Perumahan Polis IPK Sabah, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan.

"Tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 yang mana Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang menyita tujuh kenderaan mewah, satu bot fiber dengan dua enjin serta wang tunai yang mana keseluruhan rampasan dadah dan sitaan bernilai RM8.3 juta," katanya lagi.

Mohd Shuhaily berkata, bot yang dirampas di Sungai Juru dipercayai digunakan bagi membawa dadah ke Langsa, Acheh yang mengambil masa selama tiga jam menerusi perjalanan laut.

"Masih terlalu awal bagi kita menentukan dalang sindiket, dadah dipercayai dibawa dari Kuala Lumpur dan Pulau Pinang sebelum dihantar ke negara jiran menerusi laluan laut.

"Kesemua warga asing berkenaan mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan ini adalah rampasan dadah kedua terbesar bagi tahun ini," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 12:01 PM