Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Polis Pulau Pinang mematahkan kegiatan membawa masuk bekalan dadah ke negeri ini menggunakan lori membawa kelapa yang didalangi satu sindiket susulan tangkapan empat lelaki semalam.

Taktik itu dikesan susulan pemeriksaan ke atas sebuah lori membawa muatan kelapa sekatan jalan raya (SJR) di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu menghala ke Seberang Perai pada jam 10.05 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, pemeriksaan lanjut menemukan 53 bungkus dadah heroin seberat 23.85 kilogram bernilai RM265,000 di dalam kabin lori berkenaan.

Katanya, susulan itu polis menahan pemandu dan dua kelindan lori terbabit yang berusia lingkungan 26 hingga 32 tahun.

"Bertindak atas maklumat dan risikan, seorang lagi pemandu lori berusia 35 tahun yang juga ketua sindiket ditahan di Rungkup, Perak, pada hari sama.

MOHD Shuhaily (empat dari kiri) menunjukkan rampasan dadah ganja dan heroin bernilai RM83,175.90 serta tangkapan lima lelaki berusia di antara 22 hingga 46 tahun di sekitar Gelugor dan Georgetown pada sidang media di IPK Pulau Pinang. FOTO Mikail Ong
MOHD Shuhaily (empat dari kiri) menunjukkan rampasan dadah ganja dan heroin bernilai RM83,175.90 serta tangkapan lima lelaki berusia di antara 22 hingga 46 tahun di sekitar Gelugor dan Georgetown pada sidang media di IPK Pulau Pinang. FOTO Mikail Ong

"Siasatan mendapati sindiket ini aktif sejak April lalu dan membawa bekalan heroin bagi diedarkan di Pulau Pinang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Menurut Mustafa Kamal, bagi mengaburi mata pihak polis, mereka membawa dadah menggunakan lori penghantaran kelapa.

Katanya, tiga suspek tangkapan pertama mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Kesemua suspek kini direman sehingga 23 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Dadah yang dirampas boleh digunakan terhadap 120,000 penagih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 4:16 PM