Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Sub kontraktor yang dilantik Telekom Malaysia (TM) antara 19 individu ditahan polis kerana terbabit dengan kegiatan curi kabel di sekitar Pulau Pinang dan Kedah dengan kerugian sebanyak RM910,448.

Kegiatan kumpulan itu terbongkar susulan penahanan 11 lelaki tempatan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di persimpangan lampu isyarat Jalan Tanjung Bungah di sini, jam 2.40 pagi pada 10 Januari lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, ketika ditahan suspek sedang memotong dan mengeluarkan kabel bawah tanah namun gagal menunjukkan sebarang dokumen sah membabitkan kerja berkenaan.

Katanya, risikan lanjut membawa kepada penahanan tujuh lagi individu dan seorang wanita yang berperanan sebagai ahli kumpulan dan pembeli kabel curi itu di Sungai Petani, Kedah.

"Seramai 14 daripada mereka terbabit dengan kegiatan curi kabel manakala lima lagi adalah pembeli dan turut ditahan dalam serbuan sama seorang sub kontraktor yang dilantik TM berusia 30-an.

"Kesemua 19 suspek itu berasal dari Kedah dan berusia antara 27 hingga 47 tahun," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

Antara yang dirampas dalam serbuan itu ialah empat kenderaan termasuk sebuah lori; 65 batang kabel TM; telefon bimbit (14); kon jalan (12), parang, kapak serta pelbagai barang yang dipercayai bagi kegunaan kegiatan mencuri kabel.

Mengulas lanjut Mohd Shuhaily berkata, ujian saringan air kencing mendapati tujuh daripadanya positif dadah manakala 14 daripada mereka mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah.

Katanya, kumpulan berkenaan bertindak menyamar kononnya sedang membuat tugasan selenggara kabel TM bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Mereka mencuri kabel bawah tanah melalui 'main hole' sebelum melupuskannya di kawasan Sungai Petani dan Kuala Ketil, Kedah.

"Polis masih mengesan seorang lagi lelaki berusia 59 tahun disyaki terbabit dengan sindiket ini.

"Dengan penahanan kesemua suspek, kita berjaya menyelesaikan sebanyak 27 kes curi kabel iaitu 17 di Pulau Pinang dan 10 kes lagi di Kedah dengan nilai kerugian berjumlah RM910,448, " katanya lagi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

SHUHAILY (kanan) melihat kabel yang dicuri suspek. FOTO Mikail Ong
SHUHAILY (kanan) melihat kabel yang dicuri suspek. FOTO Mikail Ong

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2023 @ 2:02 PM