Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Polis merampas dadah bernilai RM1.47 juta dan menahan empat individu, termasuk pasangan kekasih, pada serbuan di sekitar Perai dan Simpang Ampat di sini, 12 Julai lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

"Pada serbuan pertama di hadapan rumah teres satu tingkat di Chai Leng Park, kami menahan dua lelaki berusia 34 dan 42 tahun.

"Hasil soal-siasat, kami merampas 27 bungkusan dadah jenis syabu seberat 29.1 kilogram (kg)," katanya pada sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

Menurut beliau, pihaknya kemudiannya menyerbu kediaman itu dan menahan wanita berusia 25 tahun yang juga kekasih suspek utama berumur 42 tahun dan merampas wang RM760,000 serta barangan kemas hasil pengedaran dadah.

Mohd Shuhaily berkata, hasil soal-siasat juga, pihaknya memeriksa sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard di sekitar Seberang Jaya dan menemukan sepucuk pistol, satu kelopak dan 13 butir peluru.

Ketua Polis Pulau Pinang, CP Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain (tengah) menunjukkan sepucuk pistol dan peluru dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, hari ini. FOTO MIKAIL ONG
Ketua Polis Pulau Pinang, CP Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain (tengah) menunjukkan sepucuk pistol dan peluru dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, hari ini. FOTO MIKAIL ONG

Turut dirampas heroin seberat 8.6kg, heroin base (4.3kg) dan kafein seberat 52.1kg.

"Susulan itu, kami menahan seorang lagi ahli sindiket berusia 33 tahun di Simpang Ampat.

"Kesemua yang ditahan terdiri daripada peniaga makanan, penternak ayam selain dua lagi penganggur," katanya.

Menurut beliau, semua suspek mempunyai rekod berkaitan dadah, jenayah dan jenayah komersil manakala ujian air kencing mendapati tiga daripadanya positif dadah.

Keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan ialah RM2.73 juta dan sindiket ini aktif sejak awal 2021.

"Dadah dirampas boleh digunakan oleh 404,500 penagih," katanya.

Antara barangan turut disita ialah sembilan kenderaan termasuk enam kereta dan masing-masing satu kereta, motosikal berkuasa tinggi, lori dan basikal.

Menurut Mohd Shuhaily, tiga daripada suspek direman tujuh hari sehingga 19 Julai ini manakala suspek keempat direman sehingga 17 Julai bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Julai 2021 @ 2:49 PM