Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis syabu dan heroin dengan rampasan keseluruhan bernilai RM6.5 juta.

Sindiket yang dipercayai aktif sejak bulan lalu itu ditumpaskan melalui tangkapan lelaki warga tempatan berusia 31 tahun di kawasan Bukit Mertajam pada 19 April lalu kira-kira jam 2 petang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain, berkata lelaki itu ditahan berhampiran sebuah kereta yang dinaikinya sebelum pemeriksaan lanjut menemukan 19 paket syabu seberat 20 kilogram (kg) dan 26.9 kg heroin base bernilai RM3.06 juta di dalam kenderaannya.

"Suspek pada ketika itu dipercayai dalam perjalanan untuk menghantar bekalan dadah berkenaan. Susulan itu, polis melakukan satu lagi serbuan di sebuah rumah di Nibong Tebal, semalam pada 11.30 pagi.

"Pemeriksaan lanjut mendapati rumah yang disewa itu dijadikan stor untuk menyimpan dadah yang dipercayai diperoleh dari negara jiran," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, di sini, hari ini.

Katanya, dalam serbuan kedua itu, polis merampas 95.6 kg syabu yang dipaket dengan bungkusan teh bernilai RM3.45 juta.

"Keseluruhannya dalam kedua-dua serbuan yang dijalankan polis merampas 112 kg syabu dan 26.9 kg heroin base bernilai RM6.5 juta.

"Polis juga turut menyita lima kenderaan terdiri daripada tiga kereta dan dua motosikal serta barang kemas serta jam tangan yang bernilai RM65,000 untuk tindakan lanjut," katanya.

Dalam pada itu, Razarudin berkata, polis masih menjalankan siasatan berhubung modus operandi yang digunakan sindiket berkenaan.

Razarudin (dua dari kanan) bersama Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Aziz Abdul Majid (kiri) melihat syabu dan heroin base yang dirampas. FOTO Mikail Ong
Razarudin (dua dari kanan) bersama Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Aziz Abdul Majid (kiri) melihat syabu dan heroin base yang dirampas. FOTO Mikail Ong

"Polis masih siasat bagaimana sindiket ini bergerak dan bagaimana dadah dibawa masuk ke negara ini termasuk mengesan ahli-ahli sindiket lain yang terlibat. Semua dadah yang dirampas ini adalah untuk pasaran tempatan," katanya.

Kataya, suspek lelaki yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau itu ditahan selama tujuh hari hingga Isnin depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 11:54 AM