Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Polis Pulau Pinang berjaya membongkar kegiatan kumpulan jenayah terancang yang menjalankan aktiviti penyeludupan dadah ke negara jiran serta memiliki senjata api.

Susulan itu, 11 individu ditahan di sekitar Pulau Pinang menerusi serbuan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang dan Bahagian Jenayah Terancang (D14) JSJ Bukit Aman menerusi Op Cantas Tanjung III.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, penahanan sembilan lelaki dan dua wanita berusia 29 hingga 61 tahun dilakukan 12 tengah hari, 24 Mei lalu.

Katanya, menerusi siasatan dan risikan, polis merampas tiga pistol bersama 90 peluru hidup beserta satu bom tangan.

"Kesemua barangan itu dirampas dalam kebun durian di kawasan Teluk Bahang, di sini.

"Kegiatan mereka dipercayai aktif sejak sejak tahun 2021 serta kebanyakan suspek bekerja sendiri dan tidak bekerja," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.

ANTARA senjata api yang dirampas. FOTO Foto Zuhainy Zulkiffli
ANTARA senjata api yang dirampas. FOTO Foto Zuhainy Zulkiffli

Mengulas lanjut Mohd Shuhaily berkata, kesemua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 130 Kanun Keseksaan kerana menganggotai sebuah kumpulan jenayah terancang dan mereka ditahan reman mengikut Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) selama 28 hari bermula 24 Mei hingga 21 Jun ini.

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971/ Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960.

"Secara keseluruhannya, polis berjaya membuat rampasan sebanyak enam senjata api, 185 peluru, sebutir bom tangan serta kira-kira 158 kilogram (kg) dadah jenis syabu.

"Kesemua rampasan yang mempunyai kaitan dengan kumpulan ini dianggarkan bernilai RM5.6 juta," katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2022 @ 12:02 PM