LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Pemilik pusat hiburan akur arahan pihak polis batalkan acara kumpulan Thai Hot Guy berunsur lesbian,gay,biseksual dan transgender (LGBT) yang dijadual berlangsung, di sini, pada 30 Mac.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, setakat jam 4 petang hari ini sebanyak 60 laporan polis diterima berhubung penganjuran program itu.

"Promosi berkaitan program terbabit menimbulkan reaksi yang tidak menyenangkan serta kecaman daripada seluruh lapisan masyarakat.

"Amaran keras telah diberikan polis kepada penganjur agar program tersebut tidak diteruskan dan dibatalkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ashari berkata, penganjur bersetuju membatalkan program itu selepas perbincangan diadakan antara pengurusan kelab terbabit dengan pihak polis pada jam 2.30 petang tadi.

"Penganjur dan pengurusan akur untuk membatalkan program tersebut dan tiada sebarang program atau aktiviti yang tular sebelum ini akan diadakan.

"Polis akan membuat pemantauan berterusan ke atas premis tersebut dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang," katanya.

Beliau berkata, pihak polis sentiasa peka berhubung apa-apa program menyentuh sensitiviti agama dan kaum terutama yang boleh menggugat ketenteraman awam.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menjalankan apa-apa aktiviti yang melanggar undang-undang sehingga menggugat ketenteraman awam.

"Sebarang maklumat berkaitan kejadian jenayah boleh disalurkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau balai berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2023 @ 5:15 PM