Oleh Farah Marshita Abdul Patah


Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati lesen kelab hiburan yang didakwa mempromosikan aktiviti tidak bermoral dikenali sebagai 'Thai Hot Guy' sudah tamat tempoh.

Setiausaha Politik Perdana Menteri Azman Abidin berkata, premis berkenaan yang dilesenkan sebagai restoran tidak mempunyai lesen hiburan dan tidak mengemukakan sebarang permohonan lesen hiburan atau permohonan untuk menjalankan aktiviti hiburan.

Katanya, DBKL juga dalam proses semakan untuk mengambil tindakan penguatkuasaan sekiranya terdapat sebarang pelanggaran peraturan dan syarat oleh penganjur.

Menurutnya, Pejabat Setiausaha Politik Perdana Menteri menerima laporan berkenaan satu acara hiburan bakal dianjurkan di Jalan Tun Razak pada 30 Mac ini bermula jam 6 petang.

"Selepas meneliti iklan di akaun Facebook kelab berkenaan, pihak kami mendapati acara hiburan berkenaan bakal menampilkan persembahan pelayan lelaki berbadan sasa dari Thailand yang berpakaian wanita dikenali sebagai Thai Hot Guy sebagai tarikan utamanya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Pemuda Parti Bangsa Malaysia (PBM) membantah penganjuran acara terbabit kerana bercanggah dengan adat budaya di negara ini.

Ketua Pergerakan Pemuda PBM Isham Sharudin berkata, Malaysia adalah sebuah negara Islam yang menjunjung tinggi tatasusila.

Katanya, amalan dan budaya seperti ini seharusnya disekat serta tidak diberi ruang dianjurkan bagi mengelak fitnah terhadap institusi kerajaan yang memerintah.

"Penganjuran program yang dijadual berlangsung pada 30 Mac ini mencemarkan kesucian bulan Ramadan yang merupakan bulan 'pesta ibadat' bagi masyarakat Islam.

"Demi menjaga keharmonian masyarakat madani di negara ini, kami menyeru dan memohon supaya pihak berkuasa tempatan dan juga agensi yang terbabit serta pihak kerajaan memandang serius perkara ini," katanya.

Sementara itu, Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama (JPPA) Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendesak supaya penganjuran program terbabit dibatalkan.

Katanya, penganjuran program yang berlangsung di bulan Ramadan adalah satu tindakan yang boleh mengguris sensitiviti masyarakat di negara ini.

"Biarpun Kerajaan Madani hari ini menjunjung tinggi nilai kebebasan rakyat, ia mestilah dipertauti dengan nilai penghormatan yang tinggi.

"Budaya Barat yang tidak relevan berisiko menambahkan lagi polarisasi masyarakat Malaysia. Oleh itu, JPPA AMK menyeru pihak berkuasa untuk segera mengambil tindakan bagi membatalkan program ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2023 @ 1:56 PM