LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Wartawan HM


Kuala Lumpur: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa kerajaan meneliti apa juga kebenaran yang diberikan kepada penganjur untuk mempromosi program tidak bermoral yang boleh mengundang sensitiviti umat Islam di negara ini.

Setiausaha Agung Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas), Zulkifly Sharif berkata, pihaknya meminta isu berkenaan diberikan perhatian serius kerana ia semakin kerap berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Katanya, setiap kali menjelangnya Ramadan, akan ada isu yang dibangkitkan sehingga menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini.

Menurutnya, ia tidak sepatutnya berlaku memandangkan hak sebagai negara Islam sudah termaktub di dalam perlembagaan dan tindakan menggugatnya amat dikesali.

"Permas mengecam sekeras-kerasnya acara 'Thai Hot Guy' yang dianjurkan sebuah kelab malam di Jalan Tun Razak pada 30 Mac ini.

"Kami beranggapan, ia sebagai usaha mempromosikan budaya songsang di negara ini tanpa mempedulikan sensitiviti umat Islam, apatah lagi ia diadakan dalam bulan Ramadan," katanya.

Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) Mohd Afiq Salim berkata, sewajarnya tidak ada kelonggaran diberikan kepada mana-mana penganjur untuk menjalankan aktiviti seperti itu.

Katanya, ia perlu dibendung segera kerana budaya seperti itu bukan saja salah disisi agama, malah bertentangan dengan sosio-budaya masyarakat di negara ini.

"Untuk apa dibenarkan program seperti ini. Tidak ada sebarang manfaat pun. Pihak berkuasa perlu tengok balik kenapa penganjur beria-ia mahu ia diadakan," katanya.

Turut bersetuju dengan kenyataan itu ialah aktivis masyarakat, Azman Kang Abdullah yang menyifatkan ia adalah usaha keterlaluan pihak tertentu untuk membangkitkan kemarahan umat Islam.

Menurutnya, tidak ada kewajaran acara songsang seperti itu diadakan apatah lagi ketika umat Islam sedang berpuasa.

"Perlu hormat kedudukan Islam sebagai agama rasmi. Tidak kira apa alasan, penganjuran seperti ini perlu dibatalkan dan diharamkan pada masa akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2023 @ 4:32 PM