Mohd Na’im Mokhtar
Mohd Na’im Mokhtar
Irwan Shafrizan Ismail


Putrajaya: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sudah diarahkan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berkait penganjuran persembahan 'Thai Hot Guy' bagi majlis pembukaan sebuah bar di ibu kota.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, berkata JAWI tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam serta undang-undang.

"Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah menerima laporan serta maklum balas masyarakat berkaitan penganjuran pembukaan sebuah kelab yang membabitkan sekumpulan pihak yang dikenali "Thai Hot Guy."

"Penganjuran acara itu adalah bertentangan dengan ajaran Islam serta tatasusila masyarakat.

"Apatah lagi dalam suasana umat Islam menyambut ketibaan bulan Ramadan yang dipenuhi dengan kemuliaan, penganjuran acara berkenaan amat mendukacitakan serta tidak bertanggungjawab," katanya dalam kenyataan hari ini.

Timbul kontroversi berkaitan satu acara hiburan menampilkan persembahan pelayan lelaki berbadan sasa dari Thailand yang berpakaian wanita dikenali sebagai 'Thai Hot Guy', bakal dianjurkan di sebuah kelab malam di Jalan Tun Razak pada 30 Mac ini.

Penganjuran acara itu yang disebarkan di beberapa platform media sosial mendapat kecaman dan kritikan pelbagai pihak yang mendesak supaya ia dibatalkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2023 @ 4:28 PM