Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis setakat ini tidak membuka kertas siasatan berhubung program aktiviti hiburan 'Thai Hot Guy' bagi pembukaan sebuah bar di ibu kota, selepas penganjur akur dengan arahan untuk membatalkannya.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, kertas siasatan tidak dibuka selepas polis memanggil penganjur semalam untuk menasihatkan program itu dibatalkan.

Menurutnya, program itu mendapat tentangan daripada pelbagai pihak dan penganjur akur untuk membatalkannya.

"Setakat ini, jumlah laporan polis dibuat masih kekal 60 laporan, sama seperti semalam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, penganjur program aktiviti hiburan 'Thai Hot Guy' bagi majlis pembukaan sebuah bar di ibu kota dan turut dikaitkan dengan aktiviti Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT) itu, akan membatalkan program yang dijadualkan berlangsung pada 30 Mac ini.

Keputusan itu dibuat susulan pelbagai kecaman dan reaksi yang diterima daripada seluruh lapisan masyarakat di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2023 @ 10:11 AM